Kendall Jenner, Gigi Hadid raih RM1.28 juta bagi setiap foto Instagram
Nizam Bakeri
Disember 23, 2015 12:17 MYT
Disember 23, 2015 12:17 MYT
DUNIA supermodel sudah benar-benar berubah. Zaman peragawati bermalasan di katil sambil menunggu bayaran untuk bangun dan berdandan sudah berakhir, lapor CR Fashion Book.
Zaman kini membenarkan mereka untuk kekal dalam gaun tidur masing-masing dan berbaring sambil menekan butang share untuk mengemas kini akaun media sosial.
Pemilik jenama terkemuka dunia kini sanggup membayar mereka ratusan ribu dolar hanya untuk satu foto di Instagram.
Menurut pakar industri, ini zaman yang serta-merta mampu menukar nama menjadi jenama.
Beberapa tahun lalu telah menyaksikan nilai media sosial para peragawati telah menjadi aset penting. Namun dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini nilai tersebut semakin diteliti bahkan diukur, dirunding, dan disandar pada nilai wang.
“Pengarah uji bakat akan memilih model yang mempunyai bilangan pengikut sebanyak “X”, kemudian barulah mereka akan meneliti ciri model tersebut,” ujar Jennifer Powell yang berkhidmat untuk agensi permodelan Next Models.
Menurut Frank Spadafora, Ketua Pegawai Eksekutif D’Marie Archive, sebuah kumpulan penganalisis yang menyediakan aplikasi dan platform untuk membandingkan 'kuasa media sosial' model masa kini, sudah menjadi kebiasaan bagi para model untuk menyediakan terma kontrak berdasarkan penggunaan media sosial.
“Tiga model pada kedudukan paling tinggi masa kini ialah Kendall Jenner, Cara Delevigne, dan Gigi Hadid. Mereka kini dinilai antara AS$125,000 hingga AS$300,000 (RM1.28 juta) bagi satu kiriman dalam profil mereka,” tambah Spadafora.
Kumpulan kedua pula dibarisi nama-nama seperti Karlie Kloss, Behati Prinsloo, dan Miranda Kerr. Mereka pula dinilai antara AS$25,000 hingga AS$50,000 bagi satu kiriman ke Facebook, Twitter, atau Instagram.
D’Marie Archive mencipta algoritma yang menggunakan 56 metrik — mengambil kira faktor seperti kekerapan kemas kini, kadar komunikasi dan bilangan klik — untuk membantu para penaja menentukan nilai satu kiriman media sosial bagi seorang model.
Kendall Jenner, misalnya, kini telah menghimpun 65 juta pengikut di Instagram. Jun lalu, beliau telah mengirim satu foto yang diiktiraf oleh majalah TIME sebagai foto yang paling banyak menerima like sepanjang zaman, dengan 2.5 juta like dalam masa lima minggu.