'Kenapa saya sukar dapat anak?'
Sinar Harian
Ogos 5, 2018 11:33 MYT
Ogos 5, 2018 11:33 MYT
RINA (bukan nama sebenar) adalah wanita biasa yang punyai susuk tubuh yang cantik, rupa paras yang menawan dan berpendidikan.
Namun, bahagia yang mula terbina apabila mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati memasuki tiga tahun usia perkahwinan, Rina mula diulit kerisauan.
Bagi pasangan suami isteri, tidak lama selepas mendirikan rumah tangga, pasti rumah akan ceria dengan kehadiran cahaya mata sendiri, namun tidak bagi Rina dan suami sehingga merisaukannya.
Dek kerana masalah itu, pasrah kerana rezeki anak adalah daripada ALLAH, lama kelamaan timbul kerisauan lain sama ada berpunca daripada kesihatan diri sendiri atau suami sehingga menyukarkan mereka memperoleh anak.
"Mandul ke?
"Rina la tu yang mahu jaga badan, sampai sekarang tak ada anak!"
Telinga Rina sudah panas asyik mendengar perli dan kata-kata memedihkan daripada keluarga mertua serta jiran tetangga yang asyik mempersoalkan mengenai dirinya yang masih belum punyai anak sendiri biarpun bertahun telah berkahwin.
Oleh itu, Rina semakin buntu dan tiada mood. Bukan sahaja dia, suaminya juga semakin dingin dengannya, kerana pernah menyalahkannya mengenai permasalahan itu. Hanya doa sahaja dipohon semoga sampai gilirannya merasai detik kehamilan dan memiliki cahaya mata, bagi mengembalikan keceriaan rumah tangga mereka.
Ketidaksuburan, stres boleh jadi punca
Berdasarkan kes di atas, Pakar Obstetriks dan Ginekologi (O&G) terkenal, Profesor Dr Harlina Halizah Siraj berkata, apabila usia perkahwinan memasuki setahun ke atas, masalah belum punyai anak memang sering menjadi isu.
Menurutnya, punca masalah ini dari segi kesihatan yang utamanya adalah ketidaksuburan.
"Dalam masyarakat kita, isteri memang selalu dipersalahkan dalam soal ini, namun secara umumnya, penyebab ketidaksuburan boleh berlaku kepada isteri, suami atau kedua-duanya.
"Justeru, saya mahu betulkan persepsi salah kepada isteri sahaja yang dipersalahkan, sedangkan orang lelaki ada penyebab sama yang perlu diketahui puncanya dengan menemui pakar O&G untuk mengetahuinya," ujarnya.
Dr Harlina berkata, tidak tinggal sebumbung dan hubungan kelamin tidak kerap turut mempengaruhi kesukaran mendapatkan cahaya mata sendiri.
"Jika pasangan tidak tinggal sebumbung kerana komitmen kerja yang jauh, sehingga kurang melakukan hubungan kelamin, maka ia mempengaruhi untuk mendapatkan zuriat.
"Selain itu, usia perkahwinan yang semakin lewat pada usia 30-an juga disebabkan bekerja setelah tamat pengajian pada usia 24 hingga 25 tahun, boleh menjadi penyebab kesuburan semakin merosot bagi wanita.
"Kerana menurut kajian, kesuburan wanita paling baik adalah ketika usia 20-an, semakin berusia, semakin kurang kesuburan itu sehingga menyukarkan untuk hamil," katanya.
Tidak penting juga, stres menjadi penyebab utama masalah ini berlaku apabila tekanan itu boleh mengganggu hormon suami isteri disebabkan masalah kerja, kewangan atau terlalu memikirkan untuk memiliki anak.
"Saranan saya, kurangkan stres, dan bincang antara suami isteri untuk mencari persefahaman seterusnya bertemu dengan yang lebih pakar tentang permasalahan ini bagi mencari penyelesaian.
"Mungkin memang faktor kesihatan yang boleh diubati, maka ada cara-cara perubatan terkini yang boleh disyorkan untuk mereka berpeluang hamil.
"Bagi yang ada masalah ketumbuhan atau cyst pula, sama ada sudah buang atau belum melakukan pembedahan, dapatkan maklumat lengkap mengenai masalah itu, sama ada kedudukannya, jenisnya dan membuangnya tidak memberi kesan untuk si isteri mendapatkan zuriat pada masa akan datang," katanya.
Apa lebih penting, persefahaman dan perbincangan antara suami isteri adalah jalan lebih baik untuk menyelesaikan sebarang masalah, sebelum bertemu dengan yang lebih pakar untuk dapatkan nasihat.