Kenapa perlu sambung pengajian Sarjana, PhD? Tidakkah lelah belajar?
Dr Nurhasmiza Abu Hasan Sazalli
Januari 24, 2018 04:45 MYT
Januari 24, 2018 04:45 MYT
Keputusan untuk terus bekerja atau menyambung pengajian ke pascasiswazah adalah antara perkara yang sering bermain di minda kebanyakan siswazah yang telah tamat pengajian sarjana muda.
Pilihan untuk terus bekerja akan menjanjikan pendapatan dan pengalaman tetapi bagaimanakah caranya untuk kita terus menambahkan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran dan nilai diri?
Jawapannya ialah dengan menyambung pengajian ke pascasiswazah.
Perjalanan sebagai pascasiswazah mungkin nampak lelah tetapi percayalah, ada kepuasan di sebalik segala cabaran yang dihadapi.
Kepuasannya datang dari ilmu yang dipelajari dan semua cabaran yang berjaya ditangani.
Berbanding pengajian sarjana muda yang lebih umum dan bersifat asas, pascasiswazah akan mendalami bidang pengajiannya dengan lebih mendalam.
Teori-teori yang telah dipelajari akan menjadi asas untuk memahami perkara-perkara baru yang mungkin lebih rumit.
Dengan ilmu membuat kajian yang ditimba, mereka perlu menyiapkan kajian yang terperinci untuk menjawab persoalan kajian.
Sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian pascasiswazah, seseorang itu perlu mendapatkan khidmat nasihat dari pakar berkenaan bidang kajian yang akan dilakukan.
Justeru itu, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur telah mengadakan Hari Informasi Pascasiswazah pada tanggal 21 Januari 2018 yang lalu.
Program yang memberi insentif pulangan RM500 yuran pengajian ini telah berjaya menerima 200 pendaftaran pelajar untuk memulakan pengajian mereka pada Februari 2018 ini.
Orang ramai berpeluang mendapatkan informasi yang lebih jelas daripada pakar-pakar penyelidik dari sekolah-sekolah pengajian dan pusat-pusat kecemerlangan di UTMKL iaitu UTM Perdana School, UTM Advanced Informatics School, UTM Azman Hashim International Business School, UTM Razak School of Engineering & Advanced Technology, Malaysia Japan International Institute of Technology, Language Academy, Wireless Communication Centre, Institute of Noise & Vibration, Institute of Bioproduct Development, Ocean Thermal Energy Centre and Coastal and Ocean Engineering Institute.
Bagi mereka yang terlepas Hari Informasi ini tetapi ingin menyambung pengajian di universiti yang ulung dalam bidang teknologi dan kejuruteraan ini, mereka boleh melayari laman sesawang admission.utm.my
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Rekrutmen dan Kemasukan Pelajar (SRAD) dan Sekolah Pengajian Siswazah UTMKL (03-20815183).
________________________________________________________________________________
*Artikel ini ditulis oleh Dr Nurhasmiza Abu Hasan Sazalli, Pensyarah Kanan dari Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.