Kenapa organisasi media kaburkan gambar pesalah? Ini sebab-sebabnya...
Farhana Joni
Disember 1, 2020 00:25 MYT
Disember 1, 2020 00:25 MYT
PERASAAN ingin tahu merupakan lumrah yang sentiasa ada dalam diri setiap individu. Lebih-lebih lagi apabila membaca laporan berita mengenai isu jenayah, perlakuan sumbang dan gosip hiburan.
Perasaan itu bagaimanapun terencat apabila organisasi media bertindak menutup gambar atau tidak mendedahkan nama sebenar suspek yang didakwa melakukan sesuatu kesalahan.
Pastinya ia menimbulkan kemarahan masyarakat, seterusnya pelbagai dakwaan yang tidak enak dihamburkan ke atas organisasi media tersebut.
Dalam hal ini, masyarakat harus memahami apa itu etika kewartawanan. Etika merupakan prinsip moral atau nilai-nilai akhlak.
Ia bukan undang-undang bertulis namun amalan yang perlu dilakukan bagi memastikan para wartawan kekal bertanggungjawab dan profesional dalam tugasan.
Menurut Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia, Ahmad Faisal Mohamed Fiah, terdapat beberapa perkara yang perlu ditutup oleh media.
Antaranya, gambar suspek kes jenayah yang belum dituduh di mahkamah, orang kena tuduh (OKT) bagi kes berkaitan salah laku seksual membabitkan ahli keluarga, kanak-kanak, pesalah juvana dan keluarga pesalah.
"Kena ingat asas kewartawanan adalah seseorang yang dituduh atau didakwa bersalah masih belum bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.
Bagi pesalah juvana, kanak-kanak dan keluarga pesalah pula, tindakan menutup gambar adalah bagi melindungi identiti mereka untuk memastikan tidak timbul kesan jangka panjang pada masa hadapan.
"Masyarakat akan menjatuhkan hukum terhadap kanak-kanak serta keluarga pesalah terbabit dan kesan jangka panjangnya apabila kanak-kanak itu semakin membesar. Sudah tentu ia akan memberi kesan psikologi,” jelas Ahmad Faisal.
Dalam masa sama Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mempertikaikan tindakan-tindakan organisasi media.
Hal ini kerana, semua organisasi media di Malaysia telah pun dilingkari dengan berbagai-bagai undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1986, Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 Serta Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
"Masyarakat perlu sedar bahawa media berpegang pada kebenaran dan berusaha sebaik mungkin untuk menyebarkan maklumat kepada umum mengikut peraturan sewajarnya,” katanya.
#Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universit
#Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia
#Ahmad Faisal Mohamed Fiah
#etika kewartawanan
#Gambar
#Tertuduh
#okt
#Kanak-kanak
#juvana
#mahkamah
#peruntukan undang-undang