'Kenapa nak malu jadi badut? Asalkan kerja halal' - Naim AF6

Faida Rahim
Januari 8, 2023 14:45 MYT
"Mungkin ramai yang malu atau segan nak jadi badut. Bimbang kena gelak dengan kawan-kawan. Tapi percayalah, kerjaya ini beri pulangan lumayan dan kita juga dapat pahala menggembirakan orang sekeliling." - Naim AF6
KUALA LUMPUR: Pernah bergelar peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Shauqi Naaim Salmi mengaku tidak segan memilih kerjaya sebagai ‘badut’ di acara keramaian.
Naim ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, meskipun memiliki kerjaya tetap, minatnya yang mendalam untuk menghiburkan orang ramai tetap tebal sehingga kini.
“Kalau dulu saya dilatih untuk hiburkan peminat di pentas nyanyian, kini saya beralih fokus hiburkan kanak-kanak pula.
“Kalau ditanya tak segan ke jadi badut, kenapa nak malu? Saya mencari rezeki halal untuk isteri dan anak-anak.
“Tahun ini masuk tahun kedua saya mengambil tempahan sebagai badut di acara yang melibatkan ramai orang termasuk golongan kenamaan, orang dewasa dan kanak-kanak. Jujur saya katakan walaupun berpanas dalam kostum, solekan tebal dan perlukan pakai wig, semuanya berbaloi bila melihat orang ramai seronok,” katanya bersyukur.
Jelas Naim berusia 35 tahun, dia mempelajari teknik berkhidmat sebagai badut separuh masa melalui pembacaan di internet dan Youtube.
“Nak hiburkan kanak-kanak perlu ada seni juga. Bukan sahaja jadi penyanyi perlu tahu tahu skill. Nak buat orang ketawa lagi susah dari buat orang sedih.
“Jadi saya banyak belajar dari internet. Alhamdulillah isteri banyak beri sokongan malah idea untuk menyediakan perkhidmatan sebagai badut juga datang dari isteri, Nor Aida Nazira Mahamad Pauzzi,” katanya yang sudah sembilan tahun berkahwin.
Dalam pada itu, Naim juga kerap menerima undangan menghiburkan orang ramai dari seluruh Malaysia.
Bapa dua anak ini kini menetap di Alor Setar, Kedah turut berkongsi pesanan kepada anak muda di luar sana untuk mencuba sesuatu yang di luar kotak.
“Mungkin ramai yang malu atau segan nak jadi badut. Bimbang kena gelak dengan kawan-kawan. Tapi percayalah, kerjaya ini beri pulangan lumayan dan kita juga dapat pahala menggembirakan orang sekeliling.
“Saya juga berterima kasih kepada isteri dan anak-anak kerana menjadi penyokong kuat saya sepanjang berkarier dalam bidang. Kalau tak sebab anak saya yang minat sangat dengan belon pelbagai bentuk, mungkin saya tidak berada di tempat sekarang. Syukur Alhamdulillah dapat saya tumpang rezeki anak-anak juga,” akhirinya.
#Alor Setar #Naim AF6 #YouTube #kerjaya badut
;