Kenapa Diana digelar puteri, Kate Middleton tidak?

Madiha Abdullah
April 29, 2018 11:49 MYT
Diana digelar Princess of Wales, manakala Kate digelar Duchess of Cambridge. - REUTERS
PUTERA William dan isterinya, Kate Middleton, mengumumkan nama bayi ketiga mereka, Putera Louis Arthur Charles, dua hari lalu.
Memegang gelaran Prince Louis of Cambridge, bayi itu kini menduduki tempat kelima dalam senarai pewarisan takhta Britain, di belakang datuknya, Putera Charles, bapanya Putera William, serta abang dan kakaknya, Putera George dan Puteri Charlotte.
Bercakap tentang gelaran, mungkin ada di antara kita pernah terfikir, mengapa isteri William, Kate, tidak diberi gelaran puteri, seperti mendiang Puteri Diana, sedangkan kedua-duanya bukan berdarah raja?
Nama vs gelaran
1. Kate Middleton tidak akan bergelar puteri, malah Puteri Diana juga bukan seorang puteri seperti yang kita ketahui. Malah Diana sendiri pernah memaklumkan bahawa gelaran puteri yang digunakan orang ramai untuknya adalah tidak tepat.
2. Sebaik mengahwini Putera Charles, Diana Spencer diberikan gelaran Diana, Princess of Wales. Ia hanya gelaran selepas bergelar isteri Charles (yang memegang gelaran Prince Charles of Wales), namun secara rasmi, Diana bukan seorang puteri. Seorang puteri atau putera sebenar, perlu dilahirkan dalam keluarga diraja dan nama mereka dalam sijil kelahiran juga perlu diawali dengan gelaran itu. Contohnya, anak-anak William dan Kate, yang kesemuanya mempunyai gelaran Putera atau Puteri di pangkal nama mereka.
3. Gelaran Princess of Wales yang diberikan kepada Diana dilucutkan sebaik perceraiannya dengan Charles dimuktamadkan.
4. Camilla Parker Bowles, yang kini isteri kepada Charles, sepatutnya memegang gelaran Princess of Wales, namun memilih untuk dikenali sebagai Camilla, Duchess of Cornwall, kerana enggan dikaitkan dengan gelaran yang pernah diberi kepada Diana.
5. Ketika dilahirkan, William diberi gelaran Prince William of Wales, namun pada hari perkahwinannya dengan Kate, beliau dianugerahkan gelaran Duke of Cambridge oleh Ratu Elizabeth.
6. Kate, atau nama sebenar Catherine Middleton, diberi gelaran Catherine, Duchess of Cambridge, bersesuaian dengan gelaran suaminya.
7. Untuk lebih mudah difahami, secara ringkas, baik Diana atau Kate, tidak akan dipanggil dengan gelaran puteri, sebaliknya hanya dipanggil dengan gelaran Your Highness. Untuk Diana, panggilan itu tidak lagi boleh digunakan selepas gelaran Princess of Wales dilucutkan. Ini berbeza dengan anak-anak William dan Kate, yang selamanya akan dipanggil putera dan puteri.
8. Apabila William menaiki takhta sebagai raja satu hari nanti, Kate akan dikenali sebagai Queen Consort Catherine VI. Queen Consort, mengikut terma, adalah isteri kepada raja yang memerintah namun tidak boleh ditabalkan sebagai permaisuri (pemerintah) jika suaminya meninggal dunia.
9. Adik William, Putera Harry, atau Prince Henry of Wales, dilaporkan akan diberikan gelaran Duke of Sussex pada hari perkahwinannya dengan Meghan Markle. Sekaligus, Markle akan digelar Meghan, Duchess of Sussex. Seperti juga Diana dan Kate, Markle tidak akan bergelar puteri.
10. Agak menarik juga untuk diketahui, mengikut peraturan, anak-anak Harry dan Markle nanti tidak akan menggunakan nama putera atau puteri, sebaliknya mereka akan menggunakan gelaran Lord atau Lady, melainkan jika Ratu mengarahkan peraturan itu ditukar.
#Catherine Middleton #Diana Spencer #duchess of cambridge #Duke of Cambridge #Kate Middleton #Prince Henry of Wales #Prince of Wales #Princess of Wales #Putera Charles #Putera Harry #Putera William #Puteri Diana
;