Kempen 'Travel, Visit and Stay Green 2.0' perkasa ekopelancongan Perak

Bernama
Mei 5, 2017 22:19 MYT
Kempen ''Travel, Visit and Stay Green 2.0'' mengajak orang ramai melawat ke pelbagai tarikan istimewa di negeri Perak. - Gambar fail
Kempen ''Travel, Visit and Stay Green 2.0'' yang dianjurkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta sebuah resort terkemuka di sini mampu memperkasakan lagi industri ekopelancongan Perak.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kempen tersebut juga sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Perak bersempena Tahun Melawat Perak 2017.
Beliau berkata kempen yang bermula sejak 2015 itu menawarkan penginapan selama dua hari satu malam di The Haven Luxury Resort dengan hanya membayar RM88.80 berbanding harga sebenar iaitu RM1,500.
"Kerjasama itu turut mempromosikan aktiviti 'pelancongan rel' yang menggalakkan pelancong menggunakan tren Perkhidmatan Keretapi Elektrik untuk mengunjungi tempat menarik di Perak, manakala resort ini dikelilingi dengan kehijauan ekosistem bukit batu kapur.
"Dengan adanya kempen sebegini, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah pelancong dan saya berharap kempen sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen berkenaan di sini hari ini.
Seramai 100 penumpang KTM Intercity dan ETS yang memiliki tiket dengan nombor siri tiga digit terakhir ''888'' bakal memenangi pakej tersebut dan untuk tahun ini kempen itu akan bermula pada 8 Mei hingga 8 Nov.
Mohamed Nazri berkata selain itu, program kerjasama tersebut turut menawarkan pakej ''Travel and Stay'' untuk pelajar yang mempunyai KTM i-card yang ingin bercuti bersama rakan atau keluarga untuk minimum empat orang.
Sementara itu, Pengurus Besar Perolehan KTMB, Mohd Hider Yusoff berkata kempen tersebut dijangka dapat meningkatkan jumlah penumpang yang menggunakan tren ETS.
"Jumlah penumpang dijangka meningkat kepada 6,000 sehari ketika ini berbanding 4,000 sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
#kempen #KTMB #Mohamed Nazri Abdul Aziz #pelancongan #tahun melawat perak #The Haven Luxury Resort
;