Kempen Komuniti Penyayang 2024 Ayam Brand tumpu pemakanan sihat, kecergasan fizikal
Israr Khalid
November 14, 2024 20:45 MYT
November 14, 2024 20:45 MYT
PETALING JAYA: Ayam Brand meneruskan inisiatif Kempen Komuniti Penyayang dengan tema ‘#AyamBersamaMu Sihat & Cergas’ untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak seluruh Malaysia.
Tahun ini, kempen mereka memberi tumpuan kepada membentuk tabiat pengambilan makanan berkhasiat yang mengandungi Omega-3, selain mempromosi gaya hidup aktif dengan hasrat melahirkan generasi yang lebih sihat, cergas dan cerdas.
Memasuki tahun ke-17 penganjurannya, kempen Ayam Brand ini telah memberi manfaat kepada lebih 28,350 individu dari 635 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membabitkan penyediaan lebih 2.2 juta hidangan berkhasiat.
Kempen kali ini dijangka melibatkan 425 kanak-kanak dari enam NGO sekitar Lembah Klang dengan menyediakan 76,500 hidangan berkhasiat juga enak.
Menerusi kerjasama dengan Hospital Columbia Asia, Focus Point Group serta pakar-pakar pemakanan dan kecergasan, kempen ini merangkumi bengkel pemakanan sihat berdasarkan konsep 3S (Suku-Suku-Separuh) Pinggan Sihat Malaysia, rutin senaman yang boleh dijadikan amalan, serta cabaran kecergasan untuk menggalakkan mereka kekal aktif.
“Setiap individu layak mendapat akses kepada makanan berkhasiat dan pengetahuan untuk menjalani kehidupan yang sihat.
“Menerusi kempen tahunan ini, kami berhasrat untuk memperkasa individu dan komuniti supaya membuat perubahan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan diri mereka,” kata Ketua Pemasaran A. Clouet (Malaysia) Sdn Bhd Teoh Wei Ling.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengambilan asid berlemak Omega-3 dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini masih lagi rendah, walhal Omega-3 adalah amat penting untuk kesihatan jantung, otak, saraf, kulit dan mata.
Pada masa sama, Malaysia juga berdepan dengan masalah pertumbuhan terbantut serta obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan, berdasarkan maklumat KKM bahawa satu dalam setiap tiga kanak-kanak negara ini mengalami obesiti.
Kesedaran rendah tentang kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan lagi sesuatu yang baharu, apabila kita mempunyai bilangan kes tertinggi kencing manis (diabetes) dan obesiti di rantau Asia Tenggara.
“Sehubungan itu, kami mengambil pendekatan proaktif untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan program kecergasan dalam kempen kali ini, menyedari bahawa negara masih berdepan dengan cabaran-cabaran tersebut.
“Sepanjang kempen ini juga kami menyediakan produk yang mempunyai kandungan Omega-3 dengan matlamat untuk menyediakan satu khasiat utama bagi kanak-kanak terlibat,” jelas Teoh Wei Ling.
Di samping itu, kolaborasi dengan Focus Point Group memastikan kesihatan mata kanak-kanak turut dijaga, di mana mereka diberi pemeriksaan mata percuma dan yang memerlukan cermin mata akan menerima tajaan Ayam Brand bagi membantu penglihatan mereka.
Pengurus Pemasaran Serantau, Hospital Columbia Asia Gwen Yap menyatakan rasa besar hatinya dapat menjadi sebahagian daripada kempen murni Ayam Brand ini, di mana katanya ia sejajar dengan komitmen hospital itu.
“Dengan menawarkan kepakaran dan sumber kami kepada rumah-rumah amal terlibat, kami harap ia memberi impak yang ketara terhadap kesihatan dan kualiti kehidupan kanak-kanak di sana,” katanya.
Penerima manfaat Kempen Komuniti Penyayang 2024 Ayam Brand dari sekitar Lembah Klang adalah Pertubuhan Anak-Anak Yatim Selangor, Yayasan Sunbeams Home, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Ti-Ratana Welfare Society Malaysia, Shelter Home, dan Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami.