Kempen ‘GUARD OUR FUTURE’ KAO tiba di Malaysia, kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor banteras denggi
Israr Khalid
Jun 18, 2024 13:49 MYT
Jun 18, 2024 13:49 MYT
KUALA LUMPUR: KAO Malaysia melancarkan Bioré GUARD Mos Block Serum, produk baharu yang diformula dengan ‘Anti-Landing Tech’ yang berupaya menghalang pendaratan nyamuk pada kulit.
Bukan sekadar pelancaran produk terbaharu, tetapi ia juga bersempena pengembangan kempen ‘GUARD OUR FUTURE’, sebuah projek global syarikat dari Jepun itu untuk membanteras penyakit bawaan nyamuk dengan lebih menyeluruh melibatkan seluruh anggota masyarakat.
Di Malaysia, denggi yang merupakan antara pembunuh utama dan masalah penyakit berbahaya ini sudah menghantui sejak sekian lama, malah angka kes semakin meningkat saban tahun.
Untuk tahun 2023, sehingga 123,133 kes jangkitan denggi dilaporkan, menandakan peningkatan 86.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Angka kematian juga meningkat 78.6 peratus, dengan kosentrasi kes tertinggi berlaku di Selangor di mana 41,565 kes jangkitan dan 28 kematian dilaporkan akibat denggi, hanya pada suku pertama 2024.
“Demam denggi menjadi masalah besar masyarakat tidak hanya di Malaysia malah di serata Asia Tenggara untuk bertahun lamanya,
“Ditambah pula dengan pemanasan global dan urbanisasi yang semakin meningkat, ia memperluas habitat nyamuk sekali gus meningkatkan kejadian demam denggi tahun demi tahun,” kata Presiden KAO Malaysia, Nishimaki Akira.
Justeru untuk permulaan kempen ‘GUARD OUR FUTURE’ di negara ini, KAO Malaysia menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui sumbangan lebih 61,080 produk perlindungan bernilai RM971,172 bersama penganjuran program-program kesedaran dan pendidikan di serata negeri terbabit.
“Tidak cukup hanya dengan sumbangan produk untuk membanteras denggi, kami percaya kita juga perlu tingkatkan kesedaran serta pengetahuan orang ramai tentang penyakit ini.
“Maka dengan itu, kami turut akan mengadakan program kesedaran dan pendidikan di 50 buah sekolah di seluruh Selangor,” katanya.
Melalui Jawatankuasa Kesihatan Awam Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan Program Pencegahan Denggi di negeri itu dengan KAO Malaysia untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang bahaya sebenar denggi dan cara-cara mencegahnya.
Kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin, mereka juga akan menganjurkan bengkel dan aktiviti gotong-royong sekitar Selangor bersama KAO Malaysia sambil mengedarkan Bioré GUARD Mos Block Serum kepada para peserta.
“Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan kerjasama dengan sektor swasta dalam program-program kesihatan awam sebagai langkah strategik untuk meningkatkan tahap kecelikan komuniti tempatan terhadap penjagaan kesihatan awam yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Bioré GUARD Mos Block Serum serta projek ‘GUARD OUR FUTURE’ pertama kali diperkenalkan KAO pada 2022 di Thailand, menggalas misi besar untuk mengajak seluruh anggota masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing untuk memastikan usaha pencegahan denggi lebih berhasil.
Ia merupakan gerak kerja di bawah Pelan Gaya Hidup Kirei (Kirei Lifestyle Plan, KLP), strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) KAO yang menggariskan matlamat masa depan syarikat tersebut yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan pengguna.
Begitu pun, untuk mencapai matlamat tersebut serta menjadikan ‘GUARD THE FUTURE’ sebuah projek berjaya, ia menuntut penglibatan, tindakan, serta komitmen berterusan daripada setiap pihak.
“Perkara paling penting adalah kita perlu ubah minda pengguna untuk bertindak secara proaktif untuk melindungi diri mereka.
“Ia tidak mudah jika dilakukan oleh KAO sendiri jadi kami mahu bekerjasama dengan syarikat lain malah kerajaan untuk meningkatkan kesedaran supaya mengubah minda mereka tentang perlindungan diri,” tegas Naib Presiden (Kesihatan dan Penjagaan Kecantikan) KAO Corporation Japan, Kamiya Mitsutoshi.
Bioré GUARD Mos Block Serum diformulasikan untuk bertindak seperti losyen yang tidak hanya melembab tetapi pada masa sama melindungi kulit dengan lapisan halus yang menghalang nyamuk daripada mendarat seterusnya menyedut darah dan menyebarkan virus.
Berupaya memberi perlindungan sehingga lapan jam, Bioré GUARD Mos Block Serum boleh didapati dalam dua bauan - ‘Fresh Lavender’ dan ‘Sweet Blossom’ di farmasi-farmasi besar dan peruncit di seluruh negara.
#KAO
#KAO Malaysia
#Kerajaan Negeri Selangor
#GUARD OUR FUTURE
#Biore
#Bior GUARD Mos Block Serum
#denggi