Kemeriahan berbuka puasa di Dataran Masjid Muhammadi
Bernama
April 8, 2023 21:41 MYT
April 8, 2023 21:41 MYT
KOTA BHARU: Sejak awal Ramadan Masjid Muhammadi di sini menjadi tumpuan umat Islam, bukan sahaja penduduk tempatan malah ada yang datang dari Terengganu, untuk berbuka puasa di dataran pekarangan masjid itu bersama ahli keluarga.
Masjid Muhammadi yang juga Masjid Negeri Kelantan bukan sahaja menyediakan kemudahan yang selesa kepada pengunjung, malah menyediakan juadah secara percuma buat mereka yang berbuka puasa di situ.
Bercakap kepada Bernama, Imam Tua II Masjid Muhammadi Kota Bharu, Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi berkata idea untuk menjadikan pekarangan masjid sebagai lokasi berbuka puasa dicetuskan oleh ahli jawatankuasa masjid.
"Ini tahun pertama berbuka puasa di pekarangan masjid diadakan, rata-rata yang datang gembira kerana selain lokasi yang menarik mereka juga mudah untuk mengerjakan solat maghrib, isyak dan tarawih.
"Sambutan yang diterima juga luar biasa kerana ada pengunjung yang datang sejauh Gua Musang, Jeli dan malah ada juga dari Jerteh, Terengganu," katanya.
Bercerita lanjut, Nik Mohd Afif Azhan berkata dataran, pekarangan masjid yang mampu memuatkan 5,000 pengunjung itu telah melalui proses penambahbaikan sejak November dan siap sehari sebelum puasa.
"Masjid mempunyai perbelanjaan khas untuk Ramadan dan memperuntukkan juadah untuk 500 hingga 2,000 orang sehari.
"Bagi mereka yang berbuka puasa di sini, pihak masjid menyediakan kemudahan seperti tikar, juadah antaranya nasi arab, gulai ayam, daging singgang, ikan masak pedas, kuih-muih dan minuman, semua secara percuma kepada pengunjung," katanya.
Menurut Nik Mohd Afif Azhan inisiatif pihak masjid cepat tersebar selepas mereka menggunakan media sosial membuat 'live' di Facebook dan TikTok bagi membuat hebahan.
"Lebih menggembirakan, pengunjung yang datang berbuka berpuasa juga membuat video masing-masing dan meletakkannya di TikTok dan Facebook menjadikan usaha kami semakin tersebar," katanya.
Bagi seorang pengunjung Lan Hawari Mohamad, 70, dari Kampung Raja Jerteh, Terengganu berkata beliau sudah dua kali berbuka puasa di Masjid Muhammadi sepanjang bulan Ramadan kali ini dan gembira kerana dapat bertemu kawan-kawan di tempat berkenaan.
"Pada mulanya saya hanya pusing-pusing mencari tempat berbuka, kemudian ternampak ramai yang datang di dataran masjid menyebabkan saya turut sama memeriahkan suasana," katanya.
Mokhtar Yasin Mustafa, 47, dari Bachok berkata beliau mengetahui mengenai aktiviti berbuka puasa di pekarangan masjid itu selepas tular di TikTok dan Facebook sejak beberapa hari lepas.
"Banyak kelebihan didapati setelah kali pertama berbuka di sini, antaranya pengunjung dapat mengekalkan silaturahim antara sesama pengunjung lain, dapat bertemu semula kawan-kawan lama selain mendidik anak-anak mengenai Ramadan," katanya.
Menurut pesara sektor swasta, Daros Stam, 60, berkata beliau bersama isteri berbuka di situ kerana teruja dengan suasana meriah, selain mudah bagi mereka untuk melakukan solat kerana sudah berada dalam kawasan masjid.
-- BERNAMA