Kembara Mahkota Johor ketemukan Sultan Ibrahim, Ahmad Zahid dan Muhyiddin

Raffi Bachik
Ogos 11, 2015 19:33 MYT
Sultan Johor, Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri kelihatan ceria ketika berbincang sesuatu pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ) di Padang Awam Lenga Pagoh, Muar, Selasa. - Foto BERNAMA
Kembara Mahkota Johor (KMJ) hari ini menyaksikan gandingan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunggang motosikal berkuasa besar.
Perjalanan sejauh 80.9 kilometer ke Kampung Sri Gajah, Chaah, Segamat dari Padang Awam Lenga, Muar itu, mengambil masa kira-kira sejam.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan Jabatan Perdana Menteri masing-masing sebanyak sejuta ringgit kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Tabung KMJ kepada Sultan Ibrahim.
Turut berangkat ke Padang Awam Lenga ialah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bersama-sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya Che' Puan Khaleeda Bustamam serta putera-putera baginda.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga anggota Parlimen Pagoh.
#Ahmad Zahid Hamidi #KMJ #Muhyiddin Yassin #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Sultan Johor
;