'Kembar' Angelina Jolie dipenjara 10 tahun
Agensi
Disember 13, 2020 10:48 MYT
Disember 13, 2020 10:48 MYT
BINTANG Instagram yang menggunakan teknik solekan dan suntingan fotografi untuk mendapatkan rupa seperti Angelina Jolie, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Iran setahun selepas ditahan kerana aktivitinya di media sosial.
Sahar Tabar, 19, atau nama sebenarnya Fatemeh Khishvand, memiliki hampir 500,000 pengikut setelah memuat naik gambar wajahnya yang menakutkan.
Tabar dituduh menggunakan cara yang salah untuk mempengaruhi anak muda dan tidak menghormati negara itu sebagai sebuah Republik Islam, lapor The Guardian.
Dia juga dituduh bertindak ganas ketika ditangkap pada Oktober 2019 bersama tiga lagi individu yang berpengaruh di Instagram.
Akaun Instagramnya sudah dinyahaktifkan.
Rekod perubatan menunjukkan Tabar menderita penyakit mental, dengan sejarah lawatan ke hospital psikiatri, sekali gus menjadikan hukuman penjara yang panjang itu satu perdebatan ramai.
Peguam Tabar cuba membantunya bebas dari penjara pada April selepas dia disahkan positif COVID-19 di penjara.
"Dia dipenjara kerana cuba berjenaka.
"Ibunya menangis setiap hari untuk membebaskan anak perempuannya yang tidak bersalah," tweet wartawan dan aktivis Iran, Masih Alinejad.