Kembalikan era kegemilangan, Kuala Pilah perlu nafas baharu
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 27, 2018 06:32 MYT
Ogos 27, 2018 06:32 MYT
"Saya nak lihat Kuala Pilah ini kembali meriah macam zaman 70-an dulu,” ujar anak muda kelahiran daerah itu, Khiddir Baharudin.
Berusia 28 tahun, Khiddir atau lebih mesra disapa sebagai Kide menceritakan, dia menterjemahkan hebatnya Kuala Pilah suatu masa dahulu menerusi lukisannya.
Gambaran itu hasil penceritaan ibu bapanya yang melalui era kegemilan Kuala Pilah pada ketika itu.
“Saya banyak tanya ibu dan ayah saya, macam mana kehidupan pada waktu itu.
"Saya minat benda-benda klasik ini, vintage, sebab tu saya tertarik dengan kehidupan pada era 60, 70-an.
"Dari situlah Mak cerita semua.
"Tahun 60-an tu meriah sangat tak macam sekarang. Jadi saya nak gambarkan balik keadaan itu," ujarnya.
Kata Kide, lukisannya turut dipengaruhi karya pelukis terkenal, Datuk Lat yang mendorongnya mendalami kedaan zaman pada ketika itu selain turut dipengaruhi oleh filem-filem Tan Sri P.Ramlee.
Hasil semua penceritaan itu, Kide menghasilkan empat lukisan yang menggambarkan pekan Kuala Pilah termasuk kedai kopitiam yang cukup terkenal di pekan Pilah – Kedai Makanan dan Minuman Sinaran serta meriahnya suasana malam pada ketika itu.
“Dengan tema sebegitu memang saya nak tunjuk kepada generasi saya yang tidak hidup pada zaman tu betapa meriahnya Kuala Pilah dulu. Tidak macam sekarang.
"Kehidupan sekarang banyak sudah bekerja kat luar, dulu ramai di kampung,” katanya lagi.
Meskipun lukisannya menggambarkan kehidupan era 60 dan 70-an, namun Kide menghasilkan lukisan yang kontemporari mengikut pasaran semasa.
Tambahnya dengan peninggalan sejarah yang banyak dan tidak didendangkan, dia mahu Kuala Pilah diangkat seperti bandar-bandar bersejarah lain, antaranya George Town dan Melaka.
“Kalau berpeluang untuk buat mural di dinding, buat satu galeri untuk Kuala Pilah.
"Saya dah ada studio di Kuala Pilah, itu pun dah membantu naikkan pelancongan di Kuala Pilah sendiri, bila saya ada studio, ada orang luar macam pengumpul nak beli hasil lukisan saya mereka datang sendiri ke studio di Kuala Pilah ini.
"Mereka boleh hayati sendiri. Saya buat lukisan tentang Kuala Pilah, jadi mereka boleh lihat sendiri pekan Kuala Pilah ini,” tambahnya lagi.
Selain bekerjasama dengan galeri seni di Publika, Kide juga merupakan finalis yang mewakili Malaysia dalam pertandingan Vans Asia Custom Culture 2017 bersama lima lagi finalis dari China, Hong Kong, India, Singapura dan Korea Selatan.
#bandar bersejarah
#Khiddir
#Khiddir Baharudin
#Kuala Pilah
#Mural
#Negeri Sembilan
#pelancongan
#pelukis
#sejarah