Kemarau teruk 'dedah' misteri dunia

Astro Awani
Ogos 27, 2022 11:30 MYT
Perkampungan Aceredo ditenggelami air pada awal 90an selepas pembinaan empangan. - Foto REUTERS
SELURUH dunia dilanda kemarau melampau pada musim panas ini menyebabkan banyak sungai menjadi kering, mendedahkan peninggalan yang sebelum ini tidak boleh diakses atau tidak diketahui.
Berikut adalah antara yang ditemui sejak beberapa bulan lalu.
Tasik Mead, Amerika Syarikat
Paras air di Tasik Mead di Nevada mencecah paras terendah, mendedahkan jasad manusia yang pernah 'tertanam' di dsasarnya. Mei lalu, dua set rangka manusia ditemui dalam tempoh seminggu. Pada Julai dan Ogos, dua lagi rangka ditemui. Pada bulan Jun dan Julai, beberapa rangka bot dan kapal yang tenggelam, mula timbul.
Sungai Tigris, Iraq
Pada Disember 2021, air surut mendedahkan sebuah bandar berusia 3,400 tahun di sepanjang Sungai Tigris di Iraq, mendorong ahli arkeologi bergegas ke tapak untuk menggali dan memetakan sebahagian besar bandar sebelum ia musnah akibat terdedah kepada perubahan cuaca. Tapak arkeologi yang dipanggil Kemune itu termasuk sebuah istana dengan dinding setinggi 20 kaki, beberapa menara dan bangunan bertingkat.
Sepanyol
Pada bulan Februari, sebuah perkampungan yang pernah ditenggelami air muncul semula di Sepanyol selepas kemarau mengeringkan empangan di sempadan Sepanyol-Portugis. Perkampungan Aceredo di wilayah Galicia, barat laut Sepanyol, sebelum ini dinaiki air pada tahun 1992 untuk mencipta takungan Alto Lindoso.
China
Di Sungai Yangtze, China, siapa sangka satu penemuan warisan yang selama ini tidak terlihat di sebuah pulau yang telah tenggelam di bandar Chongqing, kini mula 'timbul'. Pulau itu 'muncul' bersama tiga arca pahatan batu figura Buddha yang dipercayai berusia 600 tahun. Ketiga-tiga patung itu ditemui di bahagian tertinggi pulau itu yang dipanggil Foyeliang, dikenal pasti dibina semasa dinasti Ming dan Qing.
Texas, Amerika Syarikat
Kemarau teruk telah mendedahkan jejak dinosaur berusia 113 juta tahun di dasar sungai di tengah Texas. Jejak besar, yang dimiliki oleh acrocanthosaurus, tidak pernah dilihat sejak tahun 2000, kerana ia berada di bawah air dan beberapa lapisan sedimen.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#kemarau #peninggalan #Sungai #SantaiHujungMinggu
;