Kemampuan 'tukar jantina' tarikan utama aplikasi FaceApp
Madiha Abdullah
Mei 2, 2017 16:15 MYT
Mei 2, 2017 16:15 MYT
ANTARA kegilaan baharu pengguna laman sosial adalah aplikasi FaceApp.
Aplikasi yang dilancarkan Januari lalu itu mula mendapat perhatian di Amerika Syarikat selepas mencipta fenomena tersendiri di negara pembuatnya, Rusia.
FaceApp dibangunkan oleh Wireless Lab yang terletak di Saint-Petersburg, Rusia dengan aspirasi untuk menjadikan pengalaman 'selfie' lebih menarik dan menyeronokkan.
Menerusi FaceApp, pengguna boleh mendapatkan gambaran wajah mereka dalam beberapa situasi, antaranya tua, jantina berbeza dan wajah tersenyum.
Ia boleh dikatakan menjadi tarikan utama kerana orang ramai dilihat cukup teruja untuk melihat wajah mereka berdasarkan situasi-situasi berkenaan.
"Kami membangunkan satu teknologi baru yang menggunakanrangkaian saraf untuk mengubah suai wajah dalam satu-satu gambar, namun dalam masa yang sama mengekalkan keaslian gambar itu," kata pengasas Wireless Lab, Yaroslav Goncharov.
Para selebriti juga tidak ketinggalan menggunakan aplikasi ini.
Portal Business Insider turut meletakkan FaceApp sebagai antara aplikasi paling menarik setakat empat bulan pertama 2017.