Kemahiran pertolongan cemas bantu selamatkan nyawa
Bernama
Ogos 28, 2024 04:00 MYT
Ogos 28, 2024 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika berdepan situasi kecemasan seperti bencana alam atau kemalangan, memiliki pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas amat penting dalam menyelamatkan nyawa.
Bagaimanapun, terdapat salah tanggapan tentang pertolongan cemas yang boleh memudaratkan keselamatan diri termasuk menyapukan ubat gigi, kicap atau cuka di bahagian melecur.
Penolong Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Lee Tuan Cheong berkata kaedah betul membasuh bahagian melecur dengan air sejuk yang mengalir kira-kira 15 hingga 30 minit serta tidak memecahkan gelembung cecair.
"Orang ramai digalakkan untuk mempelajari taktik pertolongan cemas asas melalui saluran yang betul seperti menerusi kursus atau program latihan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu, Dr Lee berkata, menggosok atau sapu minyak angin di bahagian cedera juga satu lagi salah tanggapan, dengan cara yang betul adalah memeriksa kawasan luka dan pastikan tiada kepatahan tulang serta meletakkan ais untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak pada 24 jam pertama.
Bagi mereka yang pengsan, beliau berkata salah tanggapan biasa berlaku adalah memberikan ubat dan air, yang mungkin menyebabkan mangsa tercekik atau sesak nafas.
Sedangkan kaedah betul katanya dengan membersihkan mulut supaya mangsa dapat bernafas secara lancar selain menaikkan dagu dan melonggarkan kolar dan tali pinggang bagi membantu pernafasan mangsa.
"Jika tiada denyutan nadi atau pernafasan, lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan dapatkan bantuan dengan segera. Hubungi Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) dan dapatkan peranti defibrillator luaran automatik (AED), jika ada.
"Bagi orang dewasa, lakukan tekanan dada sebanyak 30 kali dengan dua pernafasan mulut ke mulut dan ulangi sebanyak lima kitaran, nilai keadaan mangsa (nadi dan pernafasan) setiap dua minit serta ulangi CPR sehingga nadi mangsa pulih atau pertolongan tiba," katanya.
Menurut Dr Lee, bagi pesakit mengalami pendarahan, penting untuk bertenang dan memastikan tangan bersih sebelum menyentuh luka serta menggunakan air saline atau air bersih untuk membersihkan luka.
Selain itu, tekan pada bahagian luka atau balut dengan kain atau pakaian bersih serta angkat anggota badan yang terluka lebih tinggi daripada paras jantung bagi membantu menghentikan pendarahan.
Dr Lee berkata, setiap individu wajar mempunyai ilmu berkaitan pertolongan cemas yang asas supaya bantuan dapat disalurkan dengan cara betul apabila berada pada saat genting.
"Penting untuk mempunyai pengetahuan asas tentang pertolongan cemas kerana rawatan cemas atau sokongan awal yang diberi dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup, pada masa sama mengurangkan kesakitan atau kesengsaraan mangsa sebelum mendapat rawatan selanjutnya," katanya.
- BERNAMA