Kemahiran komuniti pedalaman mampu cipta inovasi baharu

Astro Awani
Oktober 17, 2020 10:40 MYT
Penglibatan komuniti etnik terutamanya yang berada di luar bandar mampu mencetus inovasi baharu yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat luar. -Gambar Astro AWANI
KUCHING : Kemahiran serta ilmu berasaskan tradisional yang dimiliki oleh masyarakat di pedalaman mampu menyumbang kepada inovasi serta pembangunan produk baharu.
Menurut, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, kelebihan itu harus dipelihara demi membangunkan bio-ekonomi yang dapat membantu mereka menjana pendapatan sampingan.
Oleh itu, ujar Manyin, menerusi Majlis Biodiversiti Sarawak (SBC) yang telah diwujudkan, bakat mereka boleh diketengahkan bagi mencipta produk tempatan yang berdaya saing di pasaran luar.
“Saya yakin menerusi dedikasi yang ditunjukkan oleh saintis, ditambah pula dengan penyertaan besar etnik pribumi Sarawak dapat menyumbang kepada pelbagai sektor.
“Contohnya, sumber-sumber alam yang dimiliki oleh negeri kita sering dimanfaatkan oleh sektor kesihatan,” katanya.
Manyin memberitahu, untuk tujuan itu, pihak SBC menggalakkan masyarakat di pedalaman untuk sama-sama menyertai inisiatif pemuliharaan yang diwujudkan seperti Projek Adenosara.
Jelas beliau, projek ini berperanan mencungkil potensi sumber biodiversiti yang sesuai untuk dikaji dan dibangunkan.
Sementara itu, Pengerusi SBC, Datuk Amar Jaul Samion berkata komitmen itu turut dibuktikan dengan sokongan berterusan pihak SBC dalam program dokumentasi pengetahuan tradisional yang telah dijalankan sejak 2002.
“Perjanjian perkongsian ini merupakan langkah pertama ke arah mengkomersialkan sumber asli untuk membantu komuniti luar bandar menjana pendapatan tambahan serta meningkatkan taraf hidup mereka,” tambah Jaul.
Beliau memberitahu mereka yang terlibat dalam projek Adenosara bersama SDC kali ini adalah masyarakat Bidayuh Kampung Semadang, Padawan dan masyarakat Iban rumah Simon, Lubok Antu.
Inisiatif ini katanya, dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustri dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).
"Daripada 311 jenis tumbuhan yang telah didokumentasikan di Kampung Semadang, lima daripadanya sesuai dijadikan sampel penyelidikan. Antaranya, tumbuhan Bunga Ta’ang atau Adenosara," jelas Jaul.
Melalui inisiatif ini bunga Ta’ang atau nama speisifiknya ‘Adenosma Nelsonioides’ berjaya didaftarkan dibawah perlindungan harta intelek (IP) di bawah cap dagangan Adenosara.
#Projek Adenosara #Majlis Biodiversiti Sarawak SBC #Komuniti pedalaman #produk tempatan #Menteri Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak #Datuk Amar Michael Manyin Jawong