Kelantan disindir kurator pelawak, wanita ini beri penjelasan
Madiha Abdullah
September 26, 2016 15:50 MYT
September 26, 2016 15:50 MYT
KITA biasa mendengar pelbagai pandangan mengenai negeri Kelantan, baik negatif mahupun positif.
Hakikatnya, kelainan yang diterapkan negeri Pantai Timur itu, terutamanya dari segi pentadbiran, mengundang terlalu banyak salah faham oleh pelbagai pihak.
Dan yang terbaharu, seorang pengguna Twitter yang merupakan seorang pelawak telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan akaun kurator Malaysia.
Pelawak itu telah memuat naik status sinikal mengenai Kelantan yang disifatkannya sebagai sebuah negeri miskin, kurang pendidikan dan tinggi jumlah penagih dadah, namun mahu menegakkan hukum Hudud.
Pelbagai reaksi diberikan netizen, namun reaksi pengguna Facebook, Affiqah Zulkifly bermanfaat untuk dikongsi.
Kata Affiqah, mungkin Kelantan bukan negeri terkaya, namun aliran tunai paling tinggi adalah dari negeri Kelantan. Ia jelas menunjukkan majoriti penduduk negeri itu berbelanja tanpa perlu berhutang.
Kelantan juga melahirkan ramai usahawan berjaya dan ternama.
Affiqah juga menarik perhatian pembaca kepada teori yang mengatakan rakyat Kelantan adalah golongan yang mundur dan kurang berilmu, dengan menjelaskan fakta bahawa universiti tempatan dan swasta dihuni oleh ramai anak-anak muda dari Kelantan. Malah, ramai juga yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Turut dijelaskan Affiqah adalah dakwaan yang mengatakan Kelantan mempunyai kadar jangkitan HIV tertinggi. Statistik itu, menurutnya, adalah dari tahun 2006. Sebaliknya, kes HIV di Kelantan semakin menurun sejak 2009.
Punca jangkitan pula adalah dari negara jiran, Thailand dan bukan semua jangkitan dari kes penagihan dadah. Ia adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebelum mengakhiri penjelasannya, Affiqah yang juga berasal dari Kelantan, sempat berpesan kepada orang ramai agar tidak meletakkan sebarang bentuk strereotyping kepada negeri Kelantan.
Ini kerana, seperti juga negeri lain, Kelantan juga mempunyai kelebihan dan kekurangannya.