Kelab Kucing Malaysia berjaya selamatkan hampir 1,600 ekor kucing jalanan
Faida Rahim
Mei 1, 2023 21:32 MYT
Mei 1, 2023 21:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kelab Kucing Malaysia dilaporkan berjaya menyelamatkan hampir 1,600 ekor kucing terbiar di jalanan sejak tahun 2020.
Presiden Khalid Rashid memberitahu, kesemua kucing jalanan kini ditempatkan di sembilan buah lokasi penempatan penjagaan di seluruh Malaysia.
"Kelab kucing Malaysia juga mempunyai beberapa shelter dan banyak program penjagaan untuk kucing terbiar ini. Kita juga telah berjaya menempatkan sebanyak lebih 1,500 kucing terbiar yang mana sepanjang aktiviti kita dapat cari rumah baru untuk mereka yang mana kita juga dapat agihkan kucing-kucing ini kepada orang ramai.
"Kita dah ada dekat 1,560 kucing yang mendapat penjagaan lebih sempurna. Kita juga rasa sangat gembira, berbesar hati dan kita juga berterima kasih kepada orang ramai yang begitu prihatin sekali yang mana tahap kesedaran menjaga kucing telah meningkat kalau nak dibandingkan dengan tahun terdahulu.
“Sekarang ni banyak orang dah sayang kucing, haiwan dan sebagainya. Dan begitulah kita nak untuk seterusnya," Khalid berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Raya Kelab Kucing Malaysia di Shah Alam pada Isnin.
Dalam pada itu, Khalid berharap masyarakat lebih cakna mengenai kebajikan kucing di negara ini dengan menghulurkan sumbangan demi kelangsungan haiwan comel berkenaan.
Sementara itu, Kelab Kucing Malaysia juga menganjurkan program Kongsi Bersama yang dilihat berjaya serta mendapat perhatian dari orang ramai termasuk syarikat swasta dan sebagainya.
"Kami berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu dan kami juga menerima dengan hati terbuka kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan baik dari segi penjagaan atau kewangan untuk membantu kucing jalanan di seluruh Malaysia. Boleh layari laman Facebook Kelab Kucing Malaysia untuk info lanjut mengenai aktiviti di masa akan datang.
"Paling penting untuk masa depan kucing, kami galakkan untuk anda kembirikan kucing. Cukuplah kita bela dua sahaja. Tak payahlah kita biakkan dan sebagainya kerana kucing di jalanan itu biasanya berasal dari rumah kita juga.
"Bila tak terjaga, kita lepaskan dan sebagainya, maka dia akan membiak... seterusnya menjadi kucing jalanan dan terbiar. Saya harap semua peka dengan kebajikan haiwan. Walaupun tak sayang, tak apa, tapi jangan kita seksa," akhirinya.