Kekurangan diri tidak halang pemuda Gaza ini pelajari karate
Agensi
Januari 21, 2021 09:00 MYT
Januari 21, 2021 09:00 MYT
GAZA: Youssef Abu Amira tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk pasrah pada keadaan.
Graduan undang-undang berusia 24 tahun itu dilahirkan tanpa sepasang kaki dan kedua-dua belah tangannya pula tidak sempurna.
Namun, pemuda dari Gaza, Palestin ini tidak berputus asa untuk menyahut cabaran baharu - karate!
Pemegang tali pinggang jingga itu bangga menunjukkan aksi bertempur menggunakan batang kayu ketika dalam sesi latihan bersama jurulatihnya di kelab seni bela diri Al-Mashtal di Gaza.
"Saya mahu membuktikan pada diri sendiri dan kepada dunia bahawa kekurangan itu hanyalah dalam fikiran dan bukannya pada fizikal tubuh. Tiada yang mustahil.
"Saya mahu belajar karate supaya saya boleh mempertahankan diri saya, dan saya bercita-cita untuk menyertai pertandingan antarabangsa," ujarnya.
Kemahiran menggunakan senjata kayu itu ibarat Youssef menggunakan anggota tubuhnya yang tiada, dan dia juga telah mempelajari cara untuk memberi tumbukan yang padu, selain menepis serangan menggunakan tubuh dan lengannya.
Jurulatih Hassan Al-Raai berkata pelajarnya itu menunjukkan semangat yang luar biasa.
"Saya terkejut apabila mendapati Yussef memiliki kemahiran yang berbeza, malah dia boleh melakukan beberapa aksi yang lebih baik, berbanding orang yang memiliki kekurangan yang lebih sedikit," kata Hassan.
Youssef yang tinggal di kem pelarian di Pantai Gaza bergerak di bandarnya menggunakan skuter khas.
Pada tahun lalu, dia berjaya menjadi graduan dari KOlej Syariah dan Undang-Undang di Universiti Islam Gaza.
#OKU
#Palestin
#Gaza
#karate
#Youssef Abu Amira
#Graduan undang-undang
#aksi bertempur
#sesi latihan
#Al-Mashtal