'Kekurangan bukan penghalang' - Noor Lizah buktikan wanita OKU mampu berjaya

Aza Jemima Ahmad
Mac 8, 2020 09:56 MYT
Noor Lizah mewakili tanah air dan meraih pingat emas dalam acara boling wanita di Sukan Para ASEAN 2017 Kuala Lumpur. -Foto Noor Lizah Saman
BAYANGKAN jika semua keupayaan fizikal diri ditarik dalam sekelip mata. Adakah kita mampu kekal positif dan optimistik untuk meneruskan kehidupan?
Bagi Noor Lizah Salman, 53, yang berasal dari Kulai, Johor, dia berjaya membuktikan walau dalam apa jua keadaan, kejayaan boleh dicapai dengan kecekalan dan minda yang positif.
Kisahnya bermula ketika Noor Lizah pada usia 15 tahun dikejutkan dengan serangan saraf yang mengakibatkan dia lumpuh dari pinggang ke hujung kaki.
“Saya di sekolah ketika itu. Tiba- tiba rasa bisa dekat pinggang, dan terus terjatuh.
"Cikgu terus bawa ke hospital dan selepas itu saya terus lumpuh,” kata Noor Lizah.
Menurutnya, sehingga hari ini dia masih tidak mengetahui punca serangan bisa pada sarafnya.
“Memang sedih, kerana kita dilahirkan normal. Tiba-tiba pergerakan kita terbatas, dan mengetahui apa yang kita alami ini tidak ada kesembuhan.
“Pada masa itu, saya persoalkan kenapa benda ini terjadi? Macam mana nak berdepan dengan masyarakat? Memang saya malu. Semua perasaan ada, sedih dan takut,” kata Noor Lizah.
Namun, Noor Lizah jauh sekali berfikir untuk berputus asa dan mula mengaktifkan diri dan menyertai pusat pemulihan orang kurang upaya (OKU) di Cheras.
Selepas dua tahun menuntut di pusat permulihan tersebut, Noor Lizah menerima sijil dan mahir dalam menjahit, memasak dan bersukan.
“Selain dapat sijil dan belajar, kita dapat berkumpul dengan OKU lain.
"Di sini, baru ada semangat kerana kita lihat bahawa bukan kita seorang sahaja kurang upaya, ada yang lagi teruk,” kata Noor Lizah.
Di pusat pemulihan ini juga Noor Lizah bertemu jejaka pilihan yang kini bergelar suami, dan dikurniakan dua orang anak.
Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Noor Lizah dalam membesarkan kedua-dua anaknya dalam keadaan yang lumpuh.
Bagi menjana pendapatan, beliau mengambil tempahan jahitan sambil menjaga anak-anaknya yang masih kecil.
Pada tahun 2009, Noor Lizah mula berkecimpung dalam sukan boling.
Walaupun sebelum ini tidak pernah didedahkan dengan sukan boling, Noor Lizah mula meminati bermain sukan tersebut dan mula menghadiri sesi latihan di bawah Majlis Sukan Negara.
Noor Lizah juga pernah mewakili tanah air dan meraih pingat emas dalam acara bowling wanita di Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.
“Pada masa itu, banyak pengorbanan masa dan duit kerana kita banyak latihan. Suami sememangnya memberi sokongan yang tinggi.
“Pernah terdetik harapan untuk memakai jersi Malaysia. Alhamdulillah dapat merasa dan menggenggam pingat emas.
“Sekarang saya dah berapa larat, tapi perasaan semasa itu memang bersyukur,” katanya.
Selepas kedua-dua anaknya dewasa Noor Lizah mengambil keputusan untuk berhenti dari perniagaan menjahit dan mula menceburkan diri menjual biskut dan kuih.
“Perasaan paling gembira bagi saya adalah apabila pelanggan datang membeli dan berpuas hati dengan produk biskut dan kuih,” katanya sambil tersenyum.
Hari demi hari, perniagaannya semakin berkembang dan segala penat lelah yang dilaluinya akhirnya membuahkan hasil.
“Kita kena reda, kita kena ikhlas. Apa sahaja yang terjadi tentu ada hikmahnya sebenarnya.
“Kita kena ada semangat, tabah, ada kekuatan, kita kena ada usaha.
“Jangan jadikan kekurangan kita sebagai penghalang untuk kita berjaya. Selagi ada usaha, doa dan tawakkal, insya-Allah, kita akan berjaya di mana-mana.”
#biskut raya #bonda liezda #bowling #hari wanita #lumpuh tiba-tiba #Noor Lizah Saman #OKU #para atlet #serangan saraf
;