Kekalkan kesihatan mulut, ceriakan senyuman di musim perayaan
Bernama
Februari 7, 2024 05:00 MYT
Februari 7, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Memandangkan musim perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir, menikmati hidangan yang lazat bersama orang tersayang merupakan detik sangat menggembirakan.
Bagaimanapun, Doktor Pergigian di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Emilia Chua Siew Li berkata, tidak salah untuk menikmati juadah yang lazat tetapi biarlah bersederhana demi menjaga kesihatan pergigian sekali gus mengekalkan senyuman indah semasa musim perayaan akan datang.
"Tidak salah untuk menikmati juada yang lazat tetapi biarlah secara bersederhana. Elakkan mengambil makanan dan minuman manis mengandungi gula berlebihan kerana ia boleh menyumbang kepada kerosakan gigi dan masalah kesihatan gigi yang lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebagai alternatif, memilih sumber bergula yang kurang merosakkan gigi contohnya coklat kosong merupakan pilihan lebih baik berbanding gula-gula biasa kerana kandungan gula tidak berlebihan dan ia kurang melekat pada gigi.
"Makanan bergula juga lebih baik diambil bersama hidangan berat berbanding sebagai makanan ringan kerana pengeluaran air liur semasa makan boleh membantu meneutralkan asid dan membilas makanan," katanya.
Beliau juga mencadangkan pemilihan makanan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran dengan hummus, keju, kekacang, protein tanpa lemak, bijirin penuh dan minuman seperti teh hijau dan hitam dapat memberikan manfaat tambahan kepada kesihatan mulut.
Pada musim perayaan, Dr Chua menasihatkan supaya bersederhana dalam pengambilan buah oren yang bersifat asidik kerana ia boleh menghakis enamel dan meningkatkan risiko kerosakan gigi.
"Gunakan penyedut minuman untuk minuman bergula atau berasid seperti minuman ringan serta minumlah pada waktu makan, kekal hidrat dengan air mencukupi dan kunyah gula-gula getah xylitol tanpa gula untuk merangsang penghasilan air liur dan mencegah kerosakan gigi," katanya.
Dr Chua juga mencadangkan agar pemeriksaan dan pembersihan gigi dilakukan sebelum musim perayaan bagi memastikan gigi berada dalam keadaan baik serta dapat mengesan masalah lebih awal.
Selain itu, beliau berkata, kanak-kanak digalakkan mengambil makanan manis secara sederhana, pilih snek yang tidak merosakkan gigi dan mengekalkan rutin penjagaan mulut yang betul.
Petua tambahan bagi penjagaan kesihatan mulut dengan baik termasuk mengehadkan minuman manis dan berasid, kumur selepas mengambil makanan manis, makan diet yang kaya dengan nutrien, tukar berus gigi dengan kerap dan lakukan pemeriksaan pergigian secara berkala.
Dr Chua turut menekankan perlunya mengekalkan kesihatan mulut semasa dalam perjalanan khususnya dalam cuaca sejuk dan beberapa makanan tempatan yang mengandungi gula serta asid, untuk meminimumkan risiko sensitiviti dan masalah pergigian lain. - BERNAMA