Kekal tradisi Gawai, tarian Ngajat tidak dilupa walaupun dalam suasana PKPB

Astro Awani
Jun 6, 2020 19:36 MYT
Kepelbagaian tarian Ngajat membuktikan masyarakat Iban kaya dengan adat tradisi dan ia dipertahankan. -Gambar Astro AWANI
Tarian Ngajat cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat Iban.
Rentak tarinya yang unik membawa makna tertentu serta menggambarkan sesuatu situasi yang begitu dekat dengan masyarakat kaum itu.
Kini, tarian yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban adalah merupakan satu kewajipan dalam sesebuah kemeriahan seperti perayaan sambutan Gawai Dayak.
Bagi Pensyarah Kolej Komuniti Sibu, Dylinda Andrew Anem, sambutan Pesta Menuai di rumah panjang Nanga Jelai, Batang Oya tahun ini sedikit berlainan dari tahun-tahun sebelumnya kerana ia disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB).
Namun, ia tidak menghalang penduduk di rumah panjang tersebut menyemai adat tradisi kaum itu dengan mempersembahkan Ngajat Ngalu Temuai secara sederhana.
“Tarian ini seharusnya dibawa ke tahap lebih tinggi dan dibanggakan oleh setiap anak Iban. Walaupun saya berbangsa Bidayuh tetapi saya amat menggemarinya,” kata Dylinda.
Selain Ngajat Temuai, terdapat berbagai lagi variasi tarian warisan ini. Antaranya, Ngajat Kuta, Ngajat Pua Kumbu, dan Ngajat Indu.
Perbezaan setiap jenis Ngajat ini juga dipersembahkan bergantung kepada sesebuah upacara yang diraikan.
Mengambil contoh, pada zaman dahulu, tarian Ngajat Ngemai Antu Pala dipersembahkan sebagai simbol kemenangan dalam menentang musuh peperangan.
Manakala, tarian Ngajat Ngalu Temuai seperti yang dipersembahkan di rumah panjang tersebut adalah bagi menyambut kedatangan tetamu kehormat ataupun orang luar.
Menurut salah seorang penduduk, Douglas Udam Inggang, lenggok tari Ngajat membuatkan dirinya jatuh hati untuk mempelajari tarian warisan ini.
"Saya melihat dan mewarisi tarian Ngajat daripada ayah saya. Biasanya kini, Ngajat ditarikan bagi memeriahkan hari perayaan dan juga perkahwinan,” beritahunya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Jelasnya lagi, rentak keramat seperti gendang Rayah dipalu bagi mengiringi tarian Ngajat Ngalu Temuai dan ia menandakan penduduk menerima mesra kehadiran tetamu.
Bagaimanapun ujarnya, tarian Ngajat juga melalui evolusi tersendiri mengikut peredaran masa.
Kini, unsur mistik dalam tarian turun-temurun ini kurang diamalkan. Namun, elemen asli masih dikekalkan bagi pertahan warisan berharga ini.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Batang Oya #Gawai Dayak #Masyarakat Iban #Ngajat Ngalu Temuai #Ngajat Ngemai Antu Pala #Rumah Panjang Nanga Jelai #Sibu
;