Keindahan karya seni Kelantan dipentaskan di Washington DC
Bernama
Oktober 15, 2023 08:00 MYT
Oktober 15, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Warisan budaya dan seni Kelantan yang diiktiraf UNESCO akan dipamerkan di Washington D.C, Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama bulan ini melalui program Diplomasi Budaya "Sounds and Soul of the East Coast".
Kedutaan Malaysia di Washington D.C dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama di sini pada Sabtu berkata, acara eksklusif itu akan memperkenalkan keindahan karya seni dari Kelantan kepada penonton yang terdiri daripada diplomat, pegawai Kerajaan Persekutuan AS dan pakar industri pelancongan.
Peserta yang menghadiri acara itu akan berpeluang menikmati dan menyaksikan wayang kulit, tarian, muzik dan ritual rawatan tradisional dari Kelantan.
"Kebudayaan memainkan peranan penting dalam diplomasi, berfungsi sebagai jambatan yang memupuk persefahaman dan hubungan antara negara.
"Adat resam dan tradisi adalah alat yang kuat yang membolehkan kita untuk lebih memahami intipati budaya yang berbeza, akhirnya membawa kepada pemahaman yang lebih baik tentang rakyat mereka," menurut Duta Malaysia ke AS Datuk Seri Nazri Aziz dalam kenyataan itu.
Berlangsung dari 19 hingga 30 Oktober, peserta akan dapat mengalami persembahan dan demonstrasi, termasuk wayang kulit Kelantan, perubatan kerohanian Main Teri, tarian Tari Inai, seni bela diri Silat Jawi dan persembahan muzik, Dikir Barat.
Teater Mak Yong, yang diiktiraf oleh Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO akan menjadi tumpuan utama dalam program budaya ini.
"Sounds and Soul of the East Coast (berkaitan dengan pantai timur semenanjung Malaysia) menandakan acara sulung dalam siri program diplomasi budaya yang akan dihoskan oleh Nazri," menurut kenyataan itu.
Program-program itu bertujuan untuk mempromosikan seni dan budaya Malaysia sebagai penyatuan kepada identiti kebangsaan, menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan mencipta momentum menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Tambahan pula, inisiatif itu memainkan peranan penting dalam memupuk celik budaya Malaysia dalam kalangan diaspora di AS dan masyarakat global," tambahnya. - BERNAMA