Kegemaran terhadap aiskrim gula apong jadikan suri rumah usahawan berjaya

Bernama
Mac 27, 2022 10:20 MYT
Siti Fatimah bersama suaminya Pengiran Muhammad Adil tidak pernah menyangka aiskrim gula apong yang menjadi makanan kegemaran beliau kini menjadi sumber pendapatan dan mencetus fenomena. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Dua tahun menetap di Bintulu, Sarawak menjadikan Siti Fatimah Adnan, seorang anak jati Perlis, penggemar tegar aiskrim gula apong atau gula nipah yang mempunyai rasa manis berlemak dan aroma tersendiri.
Namun, sekembali ke kampung halaman pada 2014, sukar untuk beliau mendapatkan aiskrim kegemarannya itu yang sememangnya terkenal di Sarawak.
"Ketika saya di Bintulu, amat mudah untuk dapatkan aiskrim gula apong. Apabila balik ke Perlis, saya jadi sangat teringin nak makan aiskrim gula apong namun tidak dijual di Semenanjung.
"Dari situ timbul idea untuk saya cuba buat sendiri aiskrim itu," kata pemilik Mokti's Ice Cream tersebut kepada Bernama di sini.
Gula apong dihasilkan daripada air nira nipah, sejenis pokok palma yang begitu banyak didapati di sepanjang sungai-sungai di Sarawak, khususnya di Kota Samarahan dan Betong.
PERMULAAN PERNIAGAAN
Mengimbas detik permulaan perniagaan aiskrim gula apongnya kira-kira empat tahun lepas, Siti Fatimah, 31, berkata untuk membuat aiskrim tersebut, beliau mengikuti kursus asas pembuatan aiskrim.
"Selepas beberapa kali mencuba dan mendapatkan maklum balas saudara mara baru saya berkeyakinan untuk menjual aiskrim buatan saya kepada orang ramai," jelasnya.
Menurutnya, beliau kemudian membuka kedai aiskrim kecil berkeluasan 10X12 kaki persegi bersebelahan sebuah kedai serbaneka di Jejawi, Perlis.
"Ketika itu aiskrim ini masih belum dijenamakan. Untuk permulaan saya cuba jual 'soft ice cream' pada harga RM2 bagi satu cawan," cerita pemilik Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Pengurusan Perladangan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.
Mengulas lanjut, usahawan muda itu berkata pembukaan kedai kecil tersebut hanya bertujuan memperkenalkan keenakan aiskrim gula apong kepada masyarakat setempat.
Strategi perniagaan dengan mewujudkan kedai kecil di lokasi tumpuan ramai membuahkan hasil buat Siti Fatimah apabila aiskrim "home-made" itu mendapat sambutan menggalakkan.
KEMBANGKAN PERNIAGAAN
Pada 2019, beliau secara rasmi menjenamakan aiskrimnya Mokti's Ice Cream, mengambil nama gelarannya Mok Fatimah dalam kalangan ahli keluarga mentuanya di Sarawak.
Pada tahun sama, bermodalkan keuntungan daripada kedai perintis di Perlis itu, Siti Fatimah mengorak langkah mengembangkan perniagaannya secara berperingkat ke negeri-negeri lain, antaranya Kedah, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, tidak mudah untuk beliau mengecapi kejayaan yang dinikmati sekarang, khususnya pada tahun pertama dan kedua selepas memulakan perniagaan tersebut.
Namun beliau bersyukur kerana mendapat sokongan padu suaminya Pengiran Muhammad Adil Awang Iskaderzulkarnain, 33 dan ahli keluarga yang lain.
Kini beliau boleh berbangga dengan 85 cawangan Mokti's Ice Cream di seluruh negara, selain turut menjadi francaisor kepada usahawan yang berminat.
HANYA GULA APONG DAN SUSU
Mengenai pembuatan aiskrim tersebut, beliau berkata pada masa ini kesemua aiskrim Mokti's yang dijual di cawangan, dihasilkan oleh tiga kilang miliknya di Perlis yang mengeluarkan aiskrim batang, tepung aiskrim dan aiskrim gelato.
Aiskrim Mokti's langsung tidak mengandungi gula putih, sebaliknya diperbuat daripada 95 peratus gula apong yang dibawa dari Sarawak dan lima peratus susu, bagi mengekalkan keaslian juadah Bumi Kenyalang itu, jelasnya.
"Kami juga tidak menggunakan perasa vanila seperti aiskrim lain, sekadar gula apong dan susu," katanya.
Menurutnya, setiap bulan tiga kilang aiskrimnya itu memerlukan 20 tan gula apong untuk pembuatan aiskrim tersebut.
"Saya berani jamin, kami di Mokti's Ice Cream hanya gunakan gula apong asli, sebab saya mula makan aiskrim ini di Sarawak, maka saya perlu jual 'the original ice cream' gula apong kepada pelanggan," katanya.
Katanya, Mokti's Ice Cream menawarkan pelbagai pilihan aiskrim dan minuman aiskrim gula apong pada harga serendah RM1 hingga RM15.
PERANCANGAN, PENGIKTIRAFAN
Mengulas tentang perancangan masa depan, beliau berhasrat menubuhkan lebih banyak cawangan premium Mokti's Ice Cream.
Sekarang cuma ada satu, iaitu di Langkawi yang dibuka pada Oktober tahun lepas, katanya, menambah perbezaan di antara cawangan premium dan cawangan biasa ialah kedai premium menawarkan 12 jenis perisa yang tidak ada di cawangan biasa.
"Kita rancang untuk buka cawangan seumpama ini di Kuala Lumpur, Terengganu, Sabah dan Sarawak," katanya.
Bagi menjamin kualiti aiskrimnya, Siti Fatimah berkata Mokti's Ice Cream telah menerima Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan pada 2021.
Pensijilan tersebut merupakan pengiktirafan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai tempat pemprosesan makanan mengikut prosedur penyediaan makanan yang betul serta menjadikan aspek kebersihan sebagai perkara penting dalam penyediaan makanan.
Katanya, Mokti's Ice Cream juga menerima anugerah The Brand Laureate 2022 pada Februari lepas sebagai pengiktirafan terhadap jenama bumiputera terbaik.
"Ini menjadi tiket kepada kami untuk bersaing di peringkat antarabangsa dengan jenama kami sendiri memandangkan anugerah ini dapat membina reputasi Mokti's Ice Cream," katanya.
Beliau turut menerima anugerah Outstanding Young Woman Enterprise 2022 pada Ekspo Usahawan Wanita Antarabangsa Sabah (SIWE) 2022 yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita) baru-baru ini.
Susulan kejayaan yang dicapainya itu, Siti Fatimah tidak menolak kemungkinan untuk meneroka peluang menjadi pengeluar aiskrim gelato Muslim tunggal di negara ini.
-- BERNAMA

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#gula apong #usahawan #minat #aiskrim
;