Kedai biskut 'Anak Kita' beri sinar harapan kepada belia OKU

Bernama
Februari 15, 2022 16:11 MYT
Pelatih-pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) menyusun biskut di dalam balang yang ditempah pelanggan di Kedai Anak Kita. - Bernama
TAIPING: Terpanggil untuk membela nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terutama dalam kalangan lepasan sekolah dan belia, seorang guru pendidikan khas nekad membuka kedai membuat biskut di sini, semata-mata mahu memberi peluang pekerjaan kepada mereka.
Intan Hazlina Shamsul Badri, 41, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting berkata idea membuka kedai tersebut tercetus apabila mengetahui ramai bekas anak muridnya sukar mendapatkan pekerjaan, selain ada yang menempuh pengalaman pahit di tempat kerja.
"Mereka datang jumpa saya mengadu sukar dapat kerja, atau terpaksa berhenti selepas menjadi pembantu di pusat beli-belah, kena tolak troli, ditipu majikan, dibuli dan tidak dibayar gaji.
"Jadi, saya memberanikan diri membuka kedai ini yang diberi nama 'Anak Kita', dengan dibantu guru lain serta kawan-kawan bagi memberikan mereka tempat kerja baharu yang sesuai dan mesra OKU," katanya ketika ditemui di kedai tersebut di sini.
Beliau yang dikenali dalam kalangan pelajarnya sebagai 'Cikgu Intan' berkata pelatihnya yang berumur lingkungan 17 hingga 35 tahun, datang daripada pelbagai latar belakang OKU seperti pekak dan bisu, talasemia, masalah pembelajaran dan autisme.
Katanya, sejak kedai Anak Kita dibuka dua tahun lepas, mereka kini semakin mahir menghasilkan biskut, roti, dan kek yang ditempah pelbagai lapisan masyarakat termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sebab itu, antara biskut yang terkenal di sini adalah Cookies For Frontliners. Selain itu, kami juga menerima tempahan daripada majlis daerah, orang kenamaan dan syarikat persendirian termasuk dari luar negara selepas mereka melihat promosi yang dimuat naik di Facebook kami," katanya.
Intan Hazlina mengakui walaupun tidak mampu memberi gaji minimum kepada pelatihnya, beliau dan pihak pengurusan sentiasa berusaha memastikan kebajikan mereka tidak terabai terutama dari segi makan minum, ruang bekerja dan sebagainya.
"Keuntungan mengusahakan perniagaan ini tidak seberapa, cukup sekadar membayar gaji pekerja dan utiliti kedai, namun satu kepuasan apabila mereka dapat kemahiran dan diterima oleh masyarakat," tambahnya.
Menurutnya ketika ini antara cabaran yang dihadapi adalah kekurangan tenaga pengajar, selain memerlukan lebih banyak ilmu berkaitan pengurusan, kewangan dan perniagaan jika mahu mengembangkan lagi kedai itu berikutan permohonan golongan OKU untuk bekerja di situ diterima hampir setiap hari.
Sementara itu, seorang pelatih Amirul Shafiq Badrul Hisham, 21, berkata beliau seronok bekerja di kedai itu kerana dapat menimba ilmu pembuatan kek dan berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan yang lain.
"Rakan-rakan sangat baik dan selalu membantu saya dalam menghasilkan biskut, roti dan kek dengan betul. Cikgu Intan yang ajak saya bekerja di sini dan selepas ini saya tidak mahu kerja tempat lain sebab saya seronok dapat bertemu kawan-kawan," katanya.
Pasangan kembar, N.Nishalini dan N.Vishalini, 27, pula berkata mereka gembira dapat bekerja di kedai Anak Kita kerana dapat bergaul dengan rakan OKU yang lain, selepas bosan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.
"Di sini, saya dan kakak ditugaskan menampal pelekat pada balang kuih dan susun kuih kerana tidak boleh kerja di dapur," kata Nishalini.
-- BERNAMA / Nazira Hasanah Nasaruddin
#kedai biskut #anak kita #Taiping #OKU
;