Kecil tapi penuh harapan: Sekilas pandang sosioekonomi Melayu Champa
Awani Rangers UTM
Januari 29, 2018 15:40 MYT
Januari 29, 2018 15:40 MYT
Kemboja atau dalam bahasa Khmer disebut 'Kampuchea' merupakan negara yang pernah berada di bawah pimpinan rejim Komunis 'Khmer Rouge' pimpinan Pol Pot.
Ketika pemerintahannya sekitar 1951 hingga 1999, hampir dua juta rakyatnya terbunuh.
Sejak peristiwa hitam yang menghantui masyarakat Kemboja itu, mereka terus bergelut untuk meningkatkan ekonomi sara diri dan negara.
Biarpun terpaksa berhadapan realiti bahawa rakyatnya masih berpendapatan rendah dan jurang pendapatan yang amat besar, demi kelangsungan hidup, pelbagai aktiviti perniagaan berasaskan kemahiran dimanfaatkan.
Dalam satu kesempatan percutian ke sebuah daerah bernama Tbong Khmum, penulis sempat menjejakkan kaki ke sebuah kawasan perkampungan yang banyak dihuni oleh komuniti Melayu Champa, iaitu Kampung Poti In.
Di situ, penulis meluangkan masa meninjau aktiviti sosioekonomi masyarakatnya, dan bertemu dengan beberapa penduduk tempatan.
Antaranya ialah perniagaan membuat pisau, kapak, sabit dan banyak lagi peralatan lain yang banyak digunakan dalam sektor pertanian.
Selain perniagaan membuat pisau, kapak dan sabit untuk tujuan pertanian, aktiviti membuat bahagian kelengkapan kepala telaga air sangat penting di sini.
Perusahaan ini juga banyak diusahakan golongan wanita.
Tiyam Yaakob, 55 tahun, yang mewarisi bakat serta legasi perusahaan itu daripada ayahnya, telah hampir 30 tahun berkecimpung dalam seni pembuatan tersebut selain dibantu oleh lima orang pekerja.
Setiap bahagian kepala telaga air dibuat oleh individu yang berbeza mengikut kemahiran mereka sendiri kerana ia agak rumit dan memerlukan ketelitian.
Seni menjahit
Aktiviti menjahit juga antara yang mendapat perhatian di sini, malah ia disokong strategi pemasaran menggunakan media sosial yang semakin berkembang.
Seorang lagi warga tempatan yang ditemui bernama Amina, 28 tahun, mengakui sangat menyukai fesyen dan gaya dari Malaysia.
Pengalamannya selama lima tahun dalam bidang menjahit membolehkannya terus memberi tumpuan untuk memajukan perniagaannya.
Dia sering menjahit pakaian jubah yang mengikut perkembangan fesyen di Malaysia, namun diolah mengikut permintaan pelanggan tempatan.
Kuih tradisional
Selain itu, aktiviti pembuatan kuih tradisional seperti kuih bahulu dan kuih kapit antara yang terkenal dalam kalangan masyarakat setempat.
Nori Mat, 29 tahun, pula menggunakan kemahiran yang dimilikinya untuk menghasilkan kuih tradisional dengan kapasiti yang lebih banyak untuk dijual dan dihantar ke pekan-pekan besar.
Kuih yang dihasilkan mempunyai rasa yang berbeza disamping lembut dan rapuh apabila dimakan.
Semestinya, rasa yang berbeza jika dibandingkan dengan bahulu di Malaysia.
Sikap tidak memilih pekerjaan asalkan ada peluang yang diberikan untuk berkerja atau berniaga menjadi inspirasi penting yang boleh dicontohi anak muda di Malaysia.
Mereka hanya bermula dengan modal yang kecil dan bangkit sedikit demi sedikit untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
Paling menarik, peluang pekerjaan dicipta bagi membantu orang sekeliling biarpun jumlahnya amat kecil.
Ia sedikit sebanyak membuka mata untuk kita lebih bersyukur dengan nikmat kesihatan, keamanan dan kemudahan yang ada di Malaysia.
Pastinya, tatkala mereka mengatahui kami dari Malaysia, mereka sangat menghormati dan berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan sehingga kini.
* Laporan ini disediakan oleh AWANI Rangers, Hasanah Zakaria dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
** Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.
*** Awani Rangers UTM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan UTM.
#AWANI Rangers
#AWANIRangers
#cari kerja
#cipta kerjaya
#Hasanah Zakaria
#kerjaya
#peluang kerjaya
#Universiti Teknologi Malaysia
#UTM