Kecelaruan penyesuaian: Stres akibat perubahan

Dr Firdaus Abdul Gani
Ogos 20, 2020 20:30 MYT
Kecelaruan ini boleh berlaku tanpa mengira umur tetapi ia lebih kerap berlaku ketika peralihan utama usia seperti remaja, pertengahan dan lewat usia. - Unsplash
KECELARUAN penyesuaian atau ‘Adjustment disorder’ merupakan sejenis kecelaruan mental yang boleh dialami oleh sesorang individu yang berhadapan dengan sesuatu perubahan dalam hidup.
Ia berlaku setelah individu tersebut melalui peristiwa hidup yang menekan dan tercetus disebabkan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang baharu.
Ini termasuklah perubahan tempat kerja, kenaikan pangkat, kematian ahli keluarga atau mereka yang baru didiagnosakan mengalami penyakit.
Bagi kanak-kanak dan remaja, ia sering dilihat di kalangan mereka yang baru berpindah masuk ke asrama atau mengalami perceraian ibu bapa.
Secara umumnya, setiap individu akan merasa tertekan apabila berlaku sesuatu perubahan pada dirinya tetapi kebanyakannya dapat menyesuaikan diri dalam tempoh beberapa bulan.
Namun, untuk individu yang mempunyai kecelaruan penyesuaian, perasaan tertekan akan berlangsung secara berpanjangan dan reaksi yang terhasil adalah berlebihan berbanding yang dijangka di kalangan individu yang mengalami perubahan yang sama.
Kecelaruan ini boleh berlaku tanpa mengira umur tetapi ia lebih kerap berlaku ketika peralihan utama usia seperti remaja, pertengahan dan lewat usia.
Apakah gejala kecelaruan penyesuaian?
Gejala kecelaruan penyesuaian boleh melibatkan emosi, fizikal dan tingkah laku.
Antara gejala yang biasa berlaku adalah berasa cemas, sedih, putus asa, menyendiri, kurang tumpuan, letih, sukar tidur serta hilang keyakinan diri.
Contoh gejala tingkah laku pula adalah seperti memberontak dan impulsive.
Ini dimanifestasikan dengan kengganan untuk hadir ke tempat kerja, sekolah atau janji temu hospital (bagi mereka yang sakit) serta tidak mengikut arahan yang diberikan.
Terdapat juga kes yang lebih serius di mana individu mempunyai pemikiran untuk membunuh diri terutamanya jika berhadapan dengan tekanan yang berterusan serta tidak mendapat pertolongan atau rawatan yang sewajarnya.
Adalah penting untuk menyedari bahawa walaupun ada yang cuma mempunyai satu atau beberapa gejala sahaja tetapi jika gejala tersebut menganggu fungsi harian serta berpanjangan, maka mereka perlu mendapatkan rawatan.
Siapa yang berisiko?
Terdapat pelbagai faktor risiko untuk kecelaruan penyesuaian dan ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama:
1. Perubahan dalam hidup yang mendatangkan tekanan.
Perlu dijelaskan bahawa ada kalanya perubahan hidup yang menggembirakan juga boleh mendatangkan tekanan disebabkan kesukaran untuk menyesuaikan diri.
Antara contoh perubahan hidup yang sering dikaitkan dengan kecelaruan penyesuaian adalah:
● Persaraan
● Baru dikurniakan cahaya mata
● Berpindah ke tempat baru
● Memulakan persekolahan atau tinggal di asrama
● Perceraian
● Kehilangan pekerjaan
● Kehilangan orang tersayang
● Terlibat dengan bencana
● Baru didiagnosakan mengalami penyakit
2. Pengalaman hidup seseorang.
Pengalaman lalu boleh mempengaruhi bagaimana kita menghadapi tekanan. Risiko didapati lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai sejarah trauma ketika zaman kanak-kanak, masalah kesihatan mental sedia ada serta mereka yang berhadapan dengan pelbagai tekanan dalam suatu masa.
Bagaimana diagnosa dibuat?
Diagnosa dibuat berdasarkan kepada penilaian dan temu bual yang dijalankan oleh pegawai perubatan atau pakar psikiatri.
Selain daripada mendapatkan sejarah dari pesakit, ahli keluarga turut ditemu bual bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai gejala serta kesan gejala tersebut terhadap individu.
Pemeriksaan fizikal serta ujian darah tertentu turut dijalankan bagi memastikan gejala tersebut bukanlah disebabkan oleh penyakit fizikal.
Diagnosis adalah berpandukan kriteria yang ditetapkan dalam Diagnostic Statistical Manual 5th edition (DSM-V) oleh American Psychiatric Association (APA).
Individu akan didiagnosa dengan kecelaruan penyesuaian apabila didapati mempunyai ciri-ciri berikut:
1) Mula mengalami gejala psikologi atau tingkah laku dalam masa tiga bulan selepas terdedah kepada punca tekanan yang dikenal pasti.
2) Reaksi terhadap tekanan ini lebih teruk daripada yang dijangka berdasarkan reaksi biasa individu yang berhadapan dengan tekanan yang sama.
3) Tekanan ini menjejaskan fungsi harian individu tersebut.
4) Sekiranya punca tekanan ini hilang, gejala yang dihadapi sepatutnya tidak lagi berterusan lebih daripada enam bulan.
5) Gejala yang dihadapi mestilah tidak memenuhi kriteria untuk diagnosa penyakit mental yang lain.
Apakah jenis rawatan yang boleh membantu?
Rawatan yang diberi bagi kebanyakan kes ialah kaunseling dan psikoterapi yang bertujuan untuk memberikan sokongan emosi selain dari membantu individu tersebut memahami bagaimana tekanan mempengaruhi kehidupannya dan kaedah untuk menanganinya dengan baik.
Individu tersebut akan dinasihatkan untuk menguatkan sokongan sosial, memenuhi waktu dengan perkara yang positif, mengamalkan cara hidup sihat serta fokus kepada perkara baik yang berlaku di sekelilingnya.
Mereka juga akan dinasihatkan untuk mengenalpasti kekuatan diri serta cara mereka menangani masalah lalu dengan berkesan.
Mereka turut dibimbing untuk mempelajari kaedah penyelesaian masalah serta pengurusan tekanan yang baik.
Dalam sesetengah kes, ubatan diberikan untuk membantu mengawal gejala kemurungan, keresahan atau masalah tidur tetapi cuma diberikan dalam jangka masa pendek serta boleh dihentikan selepas gejala kecelaruan ini terkawal dan individu tersebut dapat menjalankan fungsi hariannya dengan baik.
Kebanyakan individu dengan kecelaruan penyesuaian boleh pulih sepenuhnya serta tidak memerlukan rawatan yang berterusan.

* Penulis adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#diagnosa #gejala #hilang #Hospital #Kanak-kanak #kaunseling #kecelaruan #kesihatan #Kolumis AWANI #remaja #sekolah #sosial #tekanan
;