Keadaan terkini Michael Schumacher, koma atau sudah sedar?
Agensi
November 1, 2020 09:00 MYT
November 1, 2020 09:00 MYT
NAMA legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher kembali disebut baru-baru ini selepas pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas, Lewis Hamilton berjaya memecahkan rekod kemenangan terbanyak pemandu dari Jerman itu.
Mungkin ramai yang mengetahui Schumacher sudah lama tidak muncul baik di televisyen mahupun di akhbar selepas koma beberapa tahun lepas.
Pemandu hebat yang turut dikenali dengan nama Schumi itu mengalami kecederaan kepala yang teruk semasa kemalangan ski pada tahun 2013 ketika di Switzerland.
Selepas itu, kesihatannya semakin merosot, koma untuk waktu yang lama dan kini tidak pasti sama ada dia sudah sedar atau belum.
Menurut laporan Express UK, selepas koma pada 2013, doktor terus berusaha merawatnya dan kemudiannya pada 2014, keluarganya membawa Schumacher ke Gland, Switzerland, di mana dia meneruskan rawatan di situ.
Pada tahun sama, Telegraph melaporkan pelumba itu “lumpuh dan duduk di kerusi roda”.
Bagaimanapun, bekas bos Schumacher di Ferrari, Jean Todt mengatakan pelumba itu tetap kuat.
Bercakap kepada Radio Monte-Carlo pada tahun 2019, Todt mengatakan Schumacher tetap "terus berjuang".
"Saya selalu berhati-hati dengan kenyataan seperti ini, tetapi itu benar (terus berjuang)."
Meskipun ramai tidak mengetahui secara jelas tahap kesihatannya, namun kenyataan daripada Ketua F1, Bernie Ecclestone pada bulan lepas menyatakan: “Satu hari nanti Michael akan dapat menjawab sendiri soalan mengenai kesihatannya.”
Kenyataan itu sedikit-sebanyak memberi kelegaan kepada peminatnya yang sudah tentu ternanti-nanti berita pelumba itu.
“Dia tidak bersama kami saat ini. Tetapi apabila dia menjadi lebih baik, dia akan menjawab semua soalan,” kata Ecclestone.
Sementara Schumacher terus menuju jalan pemulihan, hanya orang terpilih yang dibenarkan melihatnya.
Dalam pada itu, Luca Badoer, bekas rakan sekerja Schumacher di Ferrari mengatakan hanya isterinya yang memilih siapa yang dibenarkan untuk berkunjung.
"Hanya beberapa orang yang dibenarkan mengunjungi Schumacher.
"Isterinya Corinna memutuskan siapa yang diizinkan untuk melihatnya."
Perkembangan terkini mengenai kesihatan Michael Schumacher hanya sedikit kerana hanya keluarga dan rakannya yang mengeluarkan maklumat.
Kenyataan daripada doktor juga tidak konsisten, kadangkala baik dan kadangkala membimbangkan juga.
Berita terkini sebenarnya akan memberi semangat kepada peminat pelumba yang mungkin berharap dapat melihatnya semula di trek.
Perkembangan terbaru dilaporkan Express UK, seorang doktor di Switzerland, Profesor Erich Riederer mengatakan bahawa dia sudah bangun.
Bercakap dalam sebuah dokumentari di rangkaian televisyen Perancis, TMC menambah, dia tidak rasa orang ramai akan dapat melihat Schumacher dalam keadaan seperti mana dia sebelum kemalangan.
Profesor Riderer mengatakan pada bulan September: "Saya rasa dia berada dalam keadaan vegetatif, yang bermaksud dia terjaga tetapi tidak bertindak balas.
"Dia bernafas, jantungnya berdegup kencang, dia mungkin dapat duduk dan berjalan sedikit dengan bantuan, tetapi tidak lebih."
Pastinya peminat Schumacher, baik di Malaysia dan seluruh dunia menantikan berita terkini jaguh itu - semestinya mengharapkan berita baik juga.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, personaliti, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Michael Schumacher
#Lewis Hamilton
#F1
#Ferrari
#Petronas
#Mercedes
#koma
#ski
#kemalangan
#Jerman
#Switzerland
#Formula One
#Formula Satu
#Schumi
#shm
#weekender