Ke hotel dan 'check in' SEBILIK

Irwan Muhammad Zain
November 6, 2021 13:23 MYT
Segaris Art Center antara galeri yang turut menyertai CIMB Artober Hotel Art Fair 2021. - Gambar ihsan Segaris Art Center
KUALA LUMPUR: Berkunjung ke Kuala Lumpur dan 'menikmati' lukisan di atas katil sebuah bilik hotel satu pengalaman yang mengasyikkan, mungkin.
Tidak puas dalam satu bilik, boleh berpindah ke bilik-bilik lain dan karya-karya seniman yang diletak di atas katil, sofa, sinki dan lantai.
Itulah suasana di CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 di Hotel Element di ibu negara. Pameran seni hotel ini disokong oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana), diadakan di suite tetamu yang ditukar menjadi galeri mini. Digelar SEBILIK, pameran adalah hasil kerjasama awam-swasta 'TripART' antara CIMB Group, Cendana dan Yayasan Hasanah.
Antara galeri yang turut serta dalam pameran seni hotel ini adalah Segaris Art Center, yang membawa karya lebih 25 seniman tempatan.
"Fokus kami untuk pameran seni hotel ini adalah seniman-seniman muda, yang senior juga ada seperti Jalaini Abu Hassan.
"Yang bersama kami ini antara seniman yang prolifik di negara kita, yang sudah mencipta nama dan ada yang sedang mencipta nama.
"Pemilihan seniman muda juga adalah selari dengan hasrat Segaris yang mahu mengangkat karya-karya mereka yang sedang mencipta nama," katanya kepada Astro AWANI.
Sepuluh galeri seni Malaysia bersama Yayasan CIMB, Cendana dan Yayasan Hasanah, mempamerkan karya seni dan kraftangan di acara hotel pop-up ini, yang dibuka kepada orang ramai sehingga 7 Nov.
Galeri lain yang mengambil bahagian di CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 termasuk A+ Works of Art, Art WeMe Contemporary Gallery, ARTAS Galeri, Core Design Gallery, CULT Gallery, Suma Orientalis and Taksu.
Menerusi CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 juga, Cendana memperkenalkan inisiatif kraf yang mengangkat kembali produk kraf berkualiti tinggi yang mencerminkan warisan seni Malaysia.
#SEBILIK #Hotel Art Fair 2021 #CIMB Artober #Segaris Art Center
;