Kawasaki ZX-25R: Jentera 250cc paling panas terima kemas kini warna baharu
Afiezy Azaman
Jun 19, 2021 09:59 MYT
Jun 19, 2021 09:59 MYT
MASIH terngiang-ngiang di ingatan apabila jentera sportbike 250cc paling panas dunia iaitu Kawasaki Ninja ZX-25R dilancarkan di pasaran negara jiran.
Manakan tidak, ia menyambung semula legasi jentera 250cc yang mempunyai empat silinder yang terhenti berdekad lamanya.
Terkini, Kawasaki Motor Indonesia (KMI) mengumumkan terdapat kemas kini warna baharu bagi Ninja ZX-25R 2022 yang akan ditawarkan ke pasaran tidak lama lagi.
Antaranya ialah Lime Green/Ebony/Pearl Blizzard White, Passion Red/Pearl Blizzard White, Metallic Matte Graphenesteel Grey/Metallic Spark Black dan Metallic Spark Black.
Sportbike dengan ngauman enjin ala-ala F1 ini masih mengekalkan enjin dan harga yang sama seperti ketika pelancarannya.
Berkapasiti 250cc, dan menawarkan kuasa maksimum 49 horsepower (hp) dengan tork maksimum 22.9nm, Ninja ZX-25R mampu memecut sehingga 187 kilometer sejam (kmj).
Persoalan mengenai sama ada Kawasaki Ninja ZX-25R akan menjejakkan kaki ke Malaysia atau tidak masih lagi samar-samar, malah sebenarnya semakin pudar.
Banyak portal berkaitan motosikal di luar sana membuat spekulasi berkaitan Kawasaki Motors (Malaysia) yang kini diam membisu.
Ini ditambah dengan projek bersama Modenas untuk menghasilkan jentera Ninja 250R yang statusnya tidak diketahui sehingga hari ini.
Ninja 650 2020 yang telah dilancarkan juga masih belum kelihatan di Malaysia.
Namun sekiranya Kawasaki Ninja ZX-25R berada di pasaran Malaysia, sudah pasti ia akan mencabar takhta Honda CBR 250RR yang telah merampas takhta daripada Yamaha R25 dalam kelas 250cc.
Sama-sama kita nantikan!
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!