Kawal pemakanan semasa berpuasa, elak risiko kesihatan - Pegawai Dietetik

Bernama
Jun 7, 2016 15:01 MYT
Bagi pesakit jantung dan penghidap hipertensi, mereka perlu mengawal pengambilan makanan berlemak dan bergaram. - Gambar hiasan
Pesakit yang ingin berpuasa sepanjang Ramadan perlu mengamalkan pemakanan seimbang selain memberi perhatian terhadap pengambilan kumpulan makanan yang berkaitan dengan penyakit masing-masing.
Pegawai Dietetik Jabatan Dietetik Dan Sajian Hospital Kuala Lumpur, Norzainora Hamsah berkata pesakit diabetes misalnya perlu mengawal pengambilan makanan berkarbohidrat dan peka terhadap dan minuman yang diambil.
Beliau berkata kumpulan karbohidrat yang ringkas seperti gula pasir, gula batu, gula perang, gula melaka, madu dan susu pekat manis perlu dihadkan pengambilannya.
Kumpulan karbohidrat kompleks yang memberi tenaga seperti bijirin, sayur-sayuran, makanan berkanji, susu dan produk tenusu, buah-buahan dan kekacang juga perlu diambil dalam kuantiti yang terkawal, katanya kepada Bernama.
"Pesakit diabetes juga perlu mengetahui jenis ubat yang digunakan bagi persediaan untuk berpuasa. Mereka perlu mendapatkan konsultasi doktor untuk pemakanan di bulan Ramadan di samping cara pengambilan ubat," tambah beliau.
Norzainora berkata bagi pesakit jantung dan penghidap hipertensi, mereka perlu mengawal pengambilan makanan berlemak dan bergaram.
Beliau berkata begitu juga dengan pesakit gastrik, mereka perlu mengurangkan makanan berlemak dan bergaram tinggi.
Kegagalan mengawal pemakanan akan memberi risiko kepada pesakit - kawalan gula tidak baik bagi pesakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi bagi pesakit mengalami hipertensi, katanya.
Beliau berkata individu yang sihat juga mesti mengawal pengambilan makanan tinggi kalori, kandungan gula tinggi dan berlemak ekoran banyak terdapat pilihan juadah berbuka puasa yang mungkin diambil.
"Jika tidak dikawal, penurunan berat badan mungkin tidak akan berlaku semasa Ramadan sebaliknya mereka mengalami kenaikan berat badan dan berisiko menghidap penyakit," katanya.
Norzainora menekankan mengenai kepentingan minum lapan gelas air sehari sepanjang ramadan yang perlu diambil dalam tempoh berbuka puasa sehingga waktu sahur, bagi mengelak dehidrasi dan memastikan kekal sihat.
#bulan puasa #diet #jendela ramadan #pemakanan #Ramadan #tip kesihatan #tip pemakanan
;