Karya pelukis Malaysia perlu diperkenalkan ke luar negara - Yusof Ghani

Irwan Muhammad Zain
Mac 31, 2017 07:00 MYT
Pelukis kelahiran Pontian, Johor ini berharap melalui pameran tersebut, beliau dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat luar. - Gambar Astro AWANI
Memperkenalkan budaya negara atau mempromosikan Malaysia kepada masyarakat luar boleh dilakukan dengan berbagai cara, antaranya dengan mengadakan pameran lukisan di luar negara.
Masyarakat luar tentunya berminat untuk mengenali budaya dan hasil seni halus yang dimiliki oleh pelukis dari Malaysia kerana lukisan boleh difahami oleh semua biarpun tidak dapat menguasai bahasa satu-satu masyarakat itu.
Oleh kerana mahu memperkenalkan atau membawa budaya Malaysia ke luar negara, pelukis terkenal, Yusof Ghani akan mengadakan pameran solo di Asia House, London pada 3 hingga 7 April ini.
Pameran yang dinamakan Segerak VI: Transcendet Figures ini merupakan pameran solo pertama Yusuf di Kota London.
Pelukis kelahiran Pontian, Johor ini berharap melalui pameran berkenaan, beliau dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.
Beliau berpendapat, pelukis-pelukis Malaysia seharusnya mempunyai hasrat untuk mempamerkan karya-karya mereka ke luar negara.
"Saya rasa bagus kalau pelukis kita eksport budaya kita ke luar negara, sekurang-kurang orang luar dapat kenal kita dari prospek yang lain.
"Kenapa nak kenalkan budaya kita? Sebab kadang-kadang orang tak tahu, orang mungkin nampak kita dari segi lain, pasal kita kurang mendedahkan tentang seni halus kita," kataya kepada Astro AWANI.
Kata Yusof, bakat yang dimiliki oleh pelukis-pelukis tempatan setaraf dengan pelukis-pelukis luar negara.
"Banyak pelukis-pelukis kita yang mempunyai bakat setanding atau lebih dari artis-artis luar, cuma kita kena buang rasa malu kita," katanya.
Menyentuh minat masyarakat kepada seni, Yusof, 67, berkata, untuk menggalakkan atau menyemai minat terhadap seni, ia perlu bermula dari pendidikan, kerana jika tidak dididik, anak-anak tidak akan memahami atau meminati karya-karya yang dihasilkan pelukis tempatan atau luar negara.
Menerusi Segerak VI: Transcendent Figures ini, Yusof turut berkolaborasi dengan anaknya, Zaki Yusof yang menggabung karya-karya Yusof dengan fesyen.
Ikuti temu bual penuh Astro AWANI bersama Yusof Ghani yang diadakan di Galeri Tapak miliknya di Shah Alam baru-baru ini.
#London #lukisan #pameran #Seni #Yusof Ghani
;