Karya Latiff Mohidin, Pago Pago di Pompidou, Paris!

Rizal Zulkapli
Mac 3, 2018 17:45 MYT
Latiff Mohidin menjadi pelukis Asia Tenggara pertama yang karyanya dipamerkan di Centre Pompidou, Paris. Siri Pago Pago adalah penting kepada seni moden Malaysia dan Asia Tenggara. - Foto Galeri Nasional Singapura)
Siri karya penting pelukis Latiff Mohidin, Pago Pago, kini dipamerkan di Centre Pompidou, Paris.
Ini adalah kali pertama karya dari Malaysia dan Asia Tenggara di pamerkan di galeri In-Focus di Centre Pompidou itu.
Centre Pompidou sebelum ini pernah mempamerkan karya daripada pelukis ternama dunia termasuk Jeff Koons, Salvador Dali dan Lucian Freud.
Menurut kurator bebas, Nur Hanim Khairuddin yang ditemubual oleh Astro AWANI, pameran ini adalah signifikan melihat kepada pengaruh karya Pago Pago kepada seni moden Malaysia dan Asia Tenggara.
"Walaupun (Latiff Mohidin) telah merantau jauh seawal zaman remaja dan didedahkan kepada praktis dan ideologi seni barat, asas pengkaryaannya bersifat tempatan," jelas Hanim.
Tambahnya, siri Pago Pago ditumpukan kepada landskap, subjek dan monumen Nusantara dan begitu simbolik, menggemakan semangat dan tenaga mistikal rantau ini.
Pameran berkenaan bertajuk Latiff Mohidin: Pago Pago (1960-1969) adalah kerjasama Galeri Nasional Singapura dan Centre Pompidou.
Ia adalah lanjutan daripada pameran Reframing Modernism: Painting from Southeast Asia, Europe and Beyond oleh Galeri Nasional Singapura pada 2016 yang bertujuan mempromosikan karya seni Asia Tenggara ke peringkat global.
Menurut Pengarah Galeri Nasional Singapura, Dr Eugene Tan pameran ini adalah usaha untuk mengetengahkan seni moden dalam konteks global terutama ketika Eropah dan Asia Tenggara berdepan perubahan mendadak di era 60-an.
Tambahnya, Pago Pago adalah eksplorasi Latiff untuk melihat nilai estetika Asia Tenggara, yang sangat berbeza dengan pergerakan seni moden yang dilihat di Eropah pada zaman yang sama.
Latiff yang dilahirkan di Lenggeng, Negeri Sembilan, mendapat pendidikan seni di Hochschule für Bildende Künste di Berlin Barat dari 1961-1964.
Pameran ini mempamerkan lebih 70 karya yang dikumpul dari koleksi awam dan peribadi di Malaysia dan Singapura.
Pameran itu dibuka pada 28 Februari dan berlangsung sehingga 28 Mei 2018.
#Centre Pompidou #Latiff Mohidin #National Gallery Singapore #Negeri Sembilan #Pago Pago #Paris #Seni Moden #seni visual
;