Karya anak Sarawak ini tersenarai dalam anugerah buku terjemahan terbaik Amerika

Nickyson Nyambar
April 4, 2020 12:12 MYT
Kulleh bersama Pauline menerbitkan karya 'Tell Me, Kenyalang'. -Gambar Pauline Fan
Royston John Kulleh atau pengarang dengan nama pena Kulleh Grasi berjaya menempatkan karyanya berjudul ‘Tell Me, Kenyalang’ dalam senarai for The Best Translated Book Awards 2020 (BTBA), the Amazon Literary Partnership.
Pencapaian membanggakan ini turut dikongsi bersama rakannya yang juga penterjemah buku tersebut dan Pengarah Kreatif PUSAKA, Pauline Fan yang turut bersama-sama beliau selama hampir dua tahun menghasilkan karya berkenaan.
“Kebanyakan yang tercalon dalam anugerah tersebut adalah penulis tersohor di peringkat antarabangsa, termasuk Olga Tokarczuk yang pernah memenangi Hadiah Nobel. Saya merupakan satu-satunya dari Asia Tenggara bersama dengan rakan penterjemah, Pauline Fan.
“Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Pauline. Seorang penulis terkenal yang mempunyai hasil kerja hebat, di Malaysia dan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam masa sama, pencapaian cemerlang ini juga berjaya menempatkan mereka dalam Poetry Society of America iaitu sebuah organisasi ulung kesusasteraan dunia.
‘Tell me, Kenyalang’ yang diterbitkan pada November tahun lalu juga pernah dilancarkan di Pulau Pinang, Singapura dan Berlin, German.
Buku tersebut mengandungi pelbagai seleksi puisi yang pada asalnya terdiri dari bahasa pribumi Sarawak seperti Iban, Kayan, Kelabit, Penan, Bidayuh dan Bahasa Malaysia sebelum diterjemah ke Bahasa Inggeris.
Ia mengisahkan tentang suara Orang Asal (Indigenous people of Sarawak) bertemakan liberasi, mitologi, jati diri dan alam.
Tambah Kulleh lagi, sebuah rumah penerbitan yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, Circumference Books juga pernah melamar beliau bagi membuat kerja-kerja penyuntingan dan editorial.
Katanya, Jennifer Kronovet dan Dan Visel adalah merupakan editor yang banyak mengangkat kerja-kerja penulisannya di peringkat antarabangsa.
“Kami bekerja dalam zon masa berbeza, dari semasa ke semasa sehinggalah ke penghasilan buku ini. Ia pengalaman yang unik bagi saya,” kongsinya.
Anugerah tersebut dijadualkan berlangsung pada awal May di New York. Namun, dijangka akan dikemaskini susulan penularan COVID-19.
#Amerika Syarikat #Astro Awani #AWANI Sarawak #Circumference Books #Kulleh Grasi #Pauline Fan #Sarawak #The Best Translated Book Awards 2020 BTBA
;