Karl Lagerfeld si genius - Faizal Hamid
Asyraf Roslan
Februari 20, 2019 17:38 MYT
Februari 20, 2019 17:38 MYT
Selama lebih tiga dekad Karl Lagerfeld berjaya mengorak langkah dan mengembangkan empayar jenama terkenal Chanel.
Setiap rekaannya mencetus inspirasi dan diminati buat semua peminat fesyen dunia.
Bagi Faizal Hamid, Pensyarah Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM ), Lagerfeld merupakan seorang yang sentiasa bersikap 'visionary' dan kekal relevan sehingga saat ini.
“Apa yang unik mengenai Lagerfeld adalah dia merupakan seorang yang sentiasa memandang kehadapan dan mampu kekal dalam industri fesyen masa kini. Beliau sentiasa menghayati masa kini dan gigih membina masa depan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, Lagerfeld juga dilihat sebagai seorang pereka fesyen yang sangat genius dan tidak pernah memandang ke belakang.
Selain itu, Faizal tidak menolak bahawa generasi muda kini mampu menjadi sehebat pereka fesyen seperti Lagerfeld.
Namun remaja generasi kini harus berani mencuba dan keluar dari zon selesa supaya mereka akan dapat meneroka serta mempelajari lebih banyak lagi mengenai seni fesyen.
Lagerfeld, 85 tahun dilaporkan meninggal dunia pada Selasa, merupakan seorang pereka fesyen yang sangat terkenal dengan karya-karya yang sangat kreatif, elegan dan classy.
Selain Chanel, Lagerfeld turut bertanggungjawab menghasilkan rekaan untuk jenama Fendi.