Kapten Batik ketengah fantasi lautan untuk koleksi musim bunga 2022
Faida Rahim
Disember 10, 2022 13:00 MYT
Disember 10, 2022 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Batik bukan sekadar seni kraf tangan dengan nilai estetika tinggi, malah motif ditampilkan diibaratkan identiti dan budaya rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, jenama pakaian Kapten Batik Marina 22 membawakan rekaan batik moden diinspirasi dari keajaiban hidupan laut untuk koleksi musim bunga.
Pengasasnya, Ekram Faiz dan Farhan Omar memaklumkan pemilihan nama ‘Marina’ sebagai tanda cinta dan penghargaan terhadap keindahan laut di Malaysia.
"Potongan klasik kemeja bagi kegunaan harian lelaki dan wanita, kami ketengahkan lakaran yang mengambil kira aspek ketenangan pada mata yang memandang.
"Barisan pereka mengambil inspirasi daripada nukilan popular barat “Dance with the waves, move with the sea, let the rhythm of the water set your soul free”.
"Inspirasi yang terhasil daripada koleksi Marina 22, menceritakan peralihan lakaran ke arah spektrum baharu dari koleksi sebelum ini,” kata pengasas dalam sebuah kenyataan media.
Bagi siri Nusantara, cetusan idea terhasil daripada rekaan bunga karang. Keunikan corak yang terhasil berpandukan hidupan yang tinggal di dalam lautan dan mempunyai struktur liang yang membenarkan air mengalir.
Salah satu corak daripada siri masterpiece adalah Palladian Medley dalam penataan warna Aegean Blue manakala Mardhana daripada siri Maharaja memperlihatkan pengolahan kontemporari cengkerang di persisiran pantai melalui bentuk-bentuk serta tekstur unik.
Daripada koleksi ini, Kapten Batik berharap dapat memupuk pemikiran serta kesedaran terhadap memulihara hidupan laut demi masa depan negara.