Kapsyen 'serah borang' pada entri Instagram Khairy cuit perhatian

Astro Awani
Disember 28, 2018 03:23 MYT
Muat naik itu turut memperlihatkan Khairy bergambar bersama basikal lumba dan lengkap berpakaian sukan basikal bergambar di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi. Sumber Instagram @KhairyKJ
AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sekali lagi mencuri perhatian di ruangan media sosial apabila muat naik terbarunya di Instagram yang seolah-olah mengusik Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Khairy yang bergambar di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau kecewa kerana tidak dapat bersalaman dan menyerahkan 'borang' kepada Dr. Mahathir, kerana Perdana Menteri itu dikatakan sedang bercuti.
Dalam muat naik tersebut Khairy membahasakan diri beliau sebagai 'cucunda' sementara Dr. Mahathir beliau gelarkan sebagai 'nenekanda'.
Trend bahasa persuratan klasik sebegitu ibarat mengikut cara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang mengutuskan 'warkah' terbuka kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, yang menggunakan kata ganti diri 'kekanda' dan 'adinda'.
Muat naik di Instagram itu turut memperlihatkan Khairy bergambar bersama basikal lumba dan lengkap berpakaian sukan basikal.
Begitupun, perkara yang menimbulkan tanda tanya adalah berkaitan 'serah borang' itu. Ia nyata boleh mencetus spekulasi memandangkan kebelakangan ini masih hangat tentang isu 'penghijrahan' ahli UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, ramai yang menganggap entri terbaru Khairy itu satu gurauan memandangkan beliau gemar berseloroh di platform media sosial dengan menyelitkan unsur jenaka atau sindiran.
#Khairy Jamaluddin #Langkawi #Mahathir Mohamad #Nurul Izzah #Nurul Izzah Anwar #Perdana Menteri #Permatang Pauh #sukan #Tun M #Tun Mahathir