Kantin ala kafe, jual sambil bersedekah pada murid

Keluarga
Mei 15, 2022 12:45 MYT
MOHD FAHMI: Saya juga tidak pentingkan keuntungan berlebihan kerana bagi saya kepuasan guru dan murid lagi penting. - Foto Keluarga
DEK kerana pandemik COVID-19 dan operasi kantin dihentikan, anak-anak terpaksa membawa bekal atau makan di dalam kelas.
Baru-baru ini, pihak sekolah mengumumkan kantin kembali beroperasi.
Tertarik melihat seorang pengusaha kantin sekolah menjadikan kantin yang diusahakannya ala-ala kafe. Bahkan, menu yang disediakan juga cukup menarik dengan pelbagai pilihan.
Antara menunya seperti nasi berlauk, hidangan barat (chicken chop, spageti, carbonara), nasi goreng, mee goreng, minuman dan sebagainya.
Menurut Mohd Fahmi, kantin SK Taman Seri Wang, Sg Petani ini kantin ke-3 dan sebelum ini pernah mengendalikan kantin di SKM Aman Jaya, Sungai Petani dan Sek Kebangsaan Pauh Jaya, Pulau Pinang.
“Tercetusnya idea ini kerana saya bermula dengan membuka kafe di Puncak Alam, Selangor. Apabila berhijrah ke negeri kelahiran, saya mendapatkan tender untuk menjadi pengusaha kantin.
"Dari situlah saya cuba untuk lakukan dan jayakan sebuah kantin sekolah menjadi ala kafe,” katanya yang mempunyai 12 tahun pengalaman dalam perusahaan ini.
“Kami bermula sewal jam 5.30 pagi dan mempunyai seramai 11 orang pekerja termasuk seorang chef yang kreatif.
“Kebanyakan pekerja saya terdiri daripada ibu tunggal, B10 dan anak yatim. Dari sinilah saya dapat berkongsi rezeki dengan mereka.
"Kita jangan kedekut untuk bayar gaji pekerja. Kerana mereka jugalah kita, pelbagai menu dapat disediakan,” katanya.
Mohd Fahmi juga memiliki perniagaan makanan di Jeniang, Kedah iaitu Restoran Nasi Kukus Ayam Cincang dan Mango Shake yang sangat popular di situ.
Bagi memastikan kantin sekolah seperti ini, dia sanggup membuat ‘full renovation’ termasuklah dekorasi bilik makan guru dan tempat makan.
Lebih membanggakan, segala pengubahsuaian ini menggunakan kos dia sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.
“Malah, idea untuk membuat pengubahsuaian kantin ini kerana murid sekolah ini ramai dan ia memberi semangat untuk jadikan kantin lebih baik.
"Saya juga tidak pentingkan keuntungan berlebihan kerana bagi saya kepuasan guru dan murid lagi penting,” katanya yang telah berjaya menjadi Johan Kantin Terbaik Kebangsaan pada tahun 2019.
Berkenaan dengan harga makanan pun, Mohd Fahmi tidak nafikan turut menerima komen yang mengatakan deko kantin dan harga begini kerana sekolah bandar dan murid-murid pun dari kalangan orang berada.
“Jangan buat perbandingan. Baik sekolah bandar atau kampung, boleh saja buat cara ini. Nak seribu daya.
"Jangan anggap kantin yang kita usahakan itu hanya sekadar untuk cukup makan dan pendapatan yang biasa-biasa saja,” katanya yang mahu ubah dari biasa kepada luar biasa.
*Artikel asal di Keluarga

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Mohd Fahmi #kantin sekolah umpama kafe #SK Taman Seri Wang #operasi kantin henti ketika COVID-19
;