Kanser serviks kanser ketiga paling banyak dihidapi wanita Malaysia - Pakar
Bernama
Januari 7, 2016 07:29 MYT
Januari 7, 2016 07:29 MYT
Kanser serviks atau pangkal rahim ialah kanser ketiga yang paling banyak dihidapi dalam kalangan wanita Malaysia, menurut seorang pakar.
Ketua Klinik Pemeriksaan Kesihatan dan Kanser Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin berkata sebelum ini, kanser serviks dikenal pasti sebagai kanser kedua paling banyak dihidapi di Malaysia tetapi ia berubah sejak beberapa tahun berikutan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan wanita.
"Secara positifnya, saya boleh menyatakan bahawa kesedaran mengenai kanser serviks adalah lebih baik sekarang kerana masyarakat terdedah dan dimaklumkan mengenai penyakit ini, justeru mereka mudah tampil menjalani pemeriksaan.
"Walaupun hakikatnya semakin ramai orang sedar tentang kanser ini, masih ada sebilangan besar masyarakat yang enggan menjalani pemeriksaan kerana malu berbuat demikian," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas lawatan oleh peserta Miss Tourism World 2015 ke ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia.
Lebih 50 peserta itu membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser serviks dan pentingnya mengesan dan menjalani pemeriksaan awal sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam pertandingan ratu cantik itu.
Perlu dikesan awal
Sementara itu, Dr Dalilah berkata berdasarkan International Agency for Research on Cancer (GLOBOCAN), dalam setiap empat minit, seorang wanita akan mati akibat kanser serviks di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.
Beliau berkata statistik itu penting untuk menunjukkan kanser serviks tidak harus dipandang ringan oleh wanita, sebaliknya ia harus dianggap sebagai penyakit yang perlu dikesan pada peringkat awal.
"Wanita dari semua peringkat umur dan kehidupan harus memahami dengan jelas bahawa jika kanser ini dikesan di peringkat awal, peluang untuk sembuh adalah lebih baik," jelasnya.
Beliau juga berkata pada tahun-tahun akan datang, jumlah wanita yang menghidap kanser serviks mungkin menurun kerana ramai yang bersikap terbuka untuk bersuara mengenai penyakit berbahaya itu.
"Saya berharap bilangan wanita yang tampil untuk bertemu kami di NCSM bagi menjalani pemeriksaan akan meningkat terutama sepanjang bulan ini kerana kami melancarkan kempen kesedaran kanser serviks.
"Kempen itu menawarkan pemeriksaan khas kanser serviks serta pakej vaksinasi untuk wanita yang mahu menjalani pemeriksaan," kata beliau.
Dr Dalilah juga menasihatkan wanita supaya menjalani pemeriksaan dari semasa ke semasa supaya penyaringan sewajarnya dapat dijalankan untuk mengesan penyakit itu.
"Saya juga ingin menyeru kepada semua wanita supaya melakukan ujian calitan serviks dari semasa ke semasa, mengamalkan seks selamat dan mengekalkan kesihatan mereka," katanya.