Kami bantu sebab kasihan, bukan gila seks! - Wakil Dragon76

Madiha Abdullah
Oktober 9, 2017 16:49 MYT
Amir Hamzah (kanan) memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat serong apabila bertindak mengumpulkan wang RM70,000 untuk membantu Nur Farahanis Ezzaty (kiri).
SUSULAN kecaman yang diterima selepas membantu membayar denda seorang doktor gigi palsu, kumpulan bikers yang menggelarkan diri mereka Dragon76 memuat naik sebuah video di Facebook bagi menjelaskan tujuan berbuat demikian.
Wakilnya, Amir Hamzah Abdul Hamid memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat serong apabila bertindak mengumpulkan wang RM70,000 untuk membantu Nur Farahanis Ezzaty Adli, 20.
Apa yang difikirkan mereka adalah mahu membantu atas dasar simpati kepada keluarga Nur Farahanis.
Tambah Amir Hamzah, mereka tidak menafikan kesalahan yang dilakukan Nur Farahanis adalah kesalahan besar dan boleh membawa kesan yang buruk kepada orang ramai, namun pada masa sama mereka percaya dia perlu diberi peluang kedua.
"Kami faham apa perasaan ibu bapanya. Kita sendiri jika ada anak, tentu bimbang dan sedih.
"Kami bukan nak membenarkan yang salah, tetapi kami kasihankan keluarganya, itu sahaja," kata Amir Hamzah melalui video yang dimuat naik dalam sesi Facebook Live itu.
Amir Hamzah turut menyatakan rasa kesal apabila kumpulan mereka dituduh gila seks hanya kerana membantu individu itu yang secara kebetulan seorang gadis yang cantik.
"Kami tak tahu pun rupa paras dia masa mula-mula nak bantu dia dahulu. Lagipun, anggota kumpulan kami ramai yang dah kahwin, jadi bantuan ini tak ada kena mengena dengan rupa paras," ujarnya.
Nur Farahanis yang merupakan graduan kolej vokasional diarahkan membayar denda sebanyak RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan pergigian tanpa lesen di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil sejak Januari lalu.
BACA: Kementerian Kesihatan nafi sokong peniaga pendakap gigi palsu
#Bakti Homestay #doktor gigi palsu #Jalan Bukit Katil #mahkamah sesyen ayer keroh #Nur Farahanis Ezzaty Adli #pergigian tanpa lesen
;