'Kalau tak buat salah, kenapa takut?' - Doktor bidas pesakit pertikai ujian kehamilan

Madiha Abdullah
April 23, 2016 18:29 MYT
'Apa yang dilakukan oleh para doktor, adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukan untuk memalukan sesiapa'. - Abdul Rahman
SUDAH menjadi tugas seorang doktor untuk memastikan segala kemungkinan yang boleh mengancam nyawa pesakitnya, diteliti dan diperiksa.
Ini adalah prosedur penting dalam perubatan sebelum memastikan jenis rawatan dan diagnosis yang ingin dijalankan.
Justeru apabila ada yang mempertikaikannya sehingga memviralkannya di laman sosial, tidak hairanlah ia mengundang rasa kecewa dalam kalangan pengamal perubatan.
Semuanya bermula apabila seorang wanita muda memuat naik status memarahi doktor yang merawatnya kerana meminta dia membuat ujian kehamilan.
Atas dasar dia belum berkahwin, arahan doktor itu disifatkan sebagai bukan sahaja tidak masuk akal, malah juga memalukan.
Namun seorang doktor, Abdul Rahman Abdul Kadir, menerusi akaun Facebook, menjelaskan situasi sebenar sebab mengapa ujian kehamilan diperlukan.
Kata Abdul Rahman, apabila seorang wanita yang berada dalam lingkungan usia produktif, bertemu doktor atas sebab mengalami sakit dalam perut, kemungkinan paling bahaya yang perlu diketepikan adalah kehamilan luar rahim atau ectopic pregnancy.
Kehamilan luar rahim, jika tidak dirawat dengan betul, boleh mengakibatkan kematian.
Justeru, untuk memastikan perkara ini, ujian air kencing adalah satu keperluan.
Tambah Abdul Rahman, masyarakat mungkin akan mempersoalkan mengapa tidak ditanya sahaja adakah pesakit berkemungkinan hamil. Namun jelasnya, pengalaman mengajar mereka untuk tidak bergantung sepenuhnya dengan apa yang diberitahu pesakit.
Ini kerana, bukan sekali dua mereka yang mengaku tidak mungkin hamil, malah tidak pernah melakukan hubungan kelamin, akhirnya disahkan hamil selepas menjalani pemeriksaan.
Apa yang dilakukan oleh para doktor, kata Abdul Rahman, adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukan untuk memalukan sesiapa.
Abdul Rahman juga sempat menasihati orang ramai agar tidak cepat menjatuhkan hukuman, sebaliknya memahami sesuatu perkara terlebih dahulu.
#Doktor #doktor sakit puan #kehamilan #kesihatan #perubatan #ujian kehamilan
;