'Kakak tahu kami tak layak, tapi tolong tarik kami masuk syurga juga'
Madiha Abdullah
September 17, 2017 17:37 MYT
September 17, 2017 17:37 MYT
SEJAK empat hari lalu, air mata pengguna laman sosial seolah-olah diperah untuk sama-sama menangisi pemergian anak-anak syurga yang terkorban dalam insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Paling terbaharu, luahan sayu kakak kepada salah seorang daripada 23 mangsa, Mohd Hasrullah Ismail, 14, di akaun Instagram yang dimuat naik pada Sabtu.
"Kakak tahu tak layak, tapi tolong tarik kami semua sama-sama masuk syurga," kata Nazurah Ismail, melalui status berkenaan.
"Rindu. Kita terpisah di dunia. InsyaAllah di alam sana kita berjumpa lagi," katanya yang menyifatkan adiknya seorang yang manja dan dia akan sentiasa merindui keletahnya.
Cerita Nazurah, adiknya itu menjadi pendiam sejak berpindah ke bangunan baru sekolah tahfiz tersebut, dan pernah menceritakan cabaran yang terpaksa dilalui untuk menuntut ilmu Allah.
Tambah Nazurah, kali terakhir dia menemui adiknya itu adalah pada Hari Raya Aidiladha yang lalu, malah arwah tidur bersamanya pada malam terakhir di rumah.
Lebih menyayat hati, menurut Nazurah, Mohd Hasrullah antaranya yang terawal maut dalam kebakaran itu. Mayatnya ditemui di hadapan pintu, dipercayai gagal dalam usahanya merempuh pintu.
Status Nazurah kini rancak dikongsi netizen dan telah menerima lebih 57,000 likes, dengan lebih 3,000 netizen meninggalkan pesanan di ruangan komen agar Nazurah dan keluarga diberi kekuatan untuk melalui dugaan ini.
#Aidiladha
#Instagram
#kebakaran
#maut
#Mohd Hasrullah
#Nazurah Ismail
#Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah