"Kakak minta baju Raya putih, akhirnya dia dijemput Ilahi pada Syawal pertama" - Bapa pesakit kanser

Pa and Ma
Mei 10, 2022 14:29 MYT
Menurut Sabariyah, perjalanan kisah Raudhatus yang disahkan mengalami kanser otak tahun lalu hanya bermula dengan pening dan muntah. - Foto Pa & Ma
DI SAAT umat Islam bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga, Allah menguji pasangan suami isteri ini apabila anak sulung mereka yang menghidap kanser otak tahap empat dijemput Ilahi pada 1 Syawal lalu.
Pernah viral ketika Ramadan baru-baru ini, Raudhatus Solehah Rashidee Abd Rashid telah dipakaikan baju sedondon bersama dua adiknya sebagai tanda kenangan seandainya tidak berkesempatan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ini kerana doktor memberitahu tahap kesihatan kakak semakin merosot dan meminta untuk bersedia bila-bila masa sahaja.
Walaupun sudah tahu hayat kakak tidak lama, sikap positif Rashidee dan isterinya, Sabariyah Ismail yang cuba memenuhi permintaan anak wajar dipuji.
Menerusi luahan hati Rashidee, hasrat kakak untuk memakai baju warna putih akhirnya dah tertunai jua.
“Kakak meminta baju raya berwarna putih” Alhamdulillah Allah tunaikan permintaan kakak, Puteri saya Raudhatus Solehah binti Mohamad Rashidee disahkan meninggal dunia pada 1 Syawal tepat jam 12 tengahari. Doakan Kami ibu bapanya tabah Dalam ujian ini.
Berkahirnya kisah adik Raudhatus
Terima kasih kepada semua yang follow kisah kakak sejak setahun yang lepas. Tak sangka juga kisah kakak agak “meletup” beberapa hari yang lalu. Ramai yang pm kami di messanger yang belum kami buka. Mohon maaf sekali lagi.
Alhamdulillah kami ibu bapanya diberi peluang bersama kakak pada kelahiran dan kematiannya. Berada disisinya ketika kakak sedang nazak. Melihat nyawanya diambil secara perlahan-lahan. Kakak Meninggal Dunia jam 12 tengahari dan dikebumikan jam 5 petang 1 Syawal.
Kita sering berdoa agar kita dan keluarga dimasukkan ke syurga, tapi kita tidak tahu bagaimana sebab Allah memasukkan Kita ke syurga. Allah memasukkan kakak ke syurga dengan cara begini menerima penyakit dan Meninggal Dunia sebelum umurnya baligh. Oleh itu, berdoalah agar kita pergi dalam “Khusnul Khatimah”.
Menurut Rashidee, dia dan keluarganya bersyukur dengan ujian yang dihadapi.
"Jika Allah memberi kami ujian harta dan kemasyuran, kami tidak pasti adakah kami dekat atau semakin jauh dengan Allah.
"Allah telah memilih kakak ke keluarga kami. Anak pertama yang mengajar kami tanggungjawab ibubapa. Alhamdulillah diberi peluang untuk mengazankan kakak ketika kelahiran dan mengimamkan Solat Jenazah ketika kematian. Kini, masih ada 2 orang lagi puteri yang diamanahkan Allah untuk kami jaga" katanya.
"Terima kasih kepada semua. Saat perasaan dan hati kami hampir jatuh, kalian menahan kami dari rebah dan menolak kami semula ke atas," kata Rashidee.
"Terima kasih atas sumbangan, doa, tenaga dan pelbagai lagi bantuan yang kalian hulurkan. Kami tidak dapat membalasnya semua, Cuma kami doakan agar urusan kalian dipermudahkan Allah Di Dunia dan Akhirat," tambahnya.
Menurut Sabariyah, perjalanan kisah Raudhatus yang disahkan mengalami kanser otak tahun lalu hanya bermula dengan pening dan muntah.
Selepas buat pemeriksaan lanjut baharulah semuanya terungkai.
Disebabkan sel kanser telah menyerang saraf tunjangnta, rawatan agak sukar dan menyebabkan kedua-dua kaki lemah serta telah mengganggu bahagian pembuangan air kecil dan air besar.
Al-Fatihah.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Pa & Ma
#kanser otak #Raudhatus Solehah #meninggal dunia #Hari Raya Aidilfitri
;