Kaji selidik EY: Fleksibiti pekerjaan beri impak positif kepada perniagaan
Firdaus Azil
Julai 6, 2021 19:12 MYT
Julai 6, 2021 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya 22 peratus daripada golongan pekerja di negara ini memilih untuk bekerja dari rumah (WFH) apabila negara mula melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka ekonomi secara beperingkat.
Menurut hasil kajiselidik Ernst & Young – EY 2021 Work Reimagined Employee Survey, 23 peratus lagi memilih untuk bekerja di mana sahaja, 29 peratus memilih bekerja dari luar sepanjang masa, dan baki 25 peratus lagi memilih persekitaran bekerja secara hibrid.
EY berkata, hasil dapatan itu selari dengan kaji selidik peringkat global yang telah mengambil kira maklum balas 16,000 responden dari 16 buah negara, termasuk Malaysia, dengan objektif menerokai sikap serta pengalaman kerja sepanjang tempoh pandemik, sehingga ke ‘norma seterusnya’.
“Kaji selidik EY mendapati 9 daripada 10 pekerja di negara ini mahukan kelonggaran atau fleksibiliti mengenai di mana dan bila mereka bekerja. Dan sekiranya tiada fleksibiti diberikan, 45 peratus daripada mereka akan meninggalkan pekerjaan selepas COVID-19 berakhir.
“Jika diberi pilihan antara dua jenis pekerjaan, pilihan responden juga berbelah-bahagi – 48 peratus memilih kelonggaran mengenai masa, manakala 47 peratus pula memilih kelonggaran mengenai tempat bekerja,” menurut kenyataan itu lagi.
Secara purata, EY berkata, pekerja mahu waktu bekerja antara dua hingga tiga hari di luar tempat kerja selepas pandemik reda, manakala 36 peratus mahu minggu bekerja yang lebih pendek.
Majoriti responden (63 peratus), menurut kajiselidik itu lagi, percaya tahap produktiviti mereka boleh dinilai dengan tepat biar di manapun lokasi mereka bekerja.
Bagaimanapun EY berkata, 72 peratus responden berpandangan susunan kerja dengan fleksibiti sebegini boleh memberi kesan kepada akses mereka terhadap peluang pekerjaan.
Walaupun bersedia untuk mencari pekerjaan lain yang boleh menawarkan fleksibiliti, 75 peratus responden bagaimanapun berkata mereka berpuas hati dengan pekerjaan sedia ada, dan 89 peratus memilih untuk kekal sehingga 12 bulan akan datang.
“Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan perubahan ketara terhadap di mana kita bekerja, bila kita bekerja, dan bagaimana kita bekerja. Majikan yang menyediakan suasana kerja hibrid, dan menyediakan kelonggaran untuk pekerja, adalah mendahului norma.
“Majikan sebegini lebih menarik minat pekerja, mengekalkan tempoh perkhidmatan dan kepuasan pekerja dalam tempoh waktu yang panjang, sekaligus memberi impak positif kepada perniagaan mereka,” kata Pegawai Kanan Perkhidmatan Rakyat Malaysia, EY, Tan Lay Keng.