Kad Raya tetap di hati

Bernama
Julai 31, 2013 17:15 MYT
"Saya lebih suka cara tradisi. Kad raya boleh dipegang, dibelek dan disimpan buat kenangan."
"Saya pilih kad raya sebab ianya klasik."
"Bagi saya kad raya istimewa dengan kandungan gaya bahasa yang menarik. Saya beli khas untuk bonda, bonda mertua dan keluarga tersayang."
"Kad raya memberi sentuhan yang istimewa, dapat mengeratkan lagi silaturahim."
Ini adalah antara komen yang penulis peroleh selepas mengajukan pertanyaan kirim kad raya atau guna sahaja Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau Sistem Pesanan Multimedia (MMS) kepada rakan-rakan Facebook.
Ternyata tradisi mengirim Kad Raya secara pos masih menjadi pilihan sebahagian besar yang diminta memberi pendapat.
Sebilangan kecil turut memberitahu bahawa kalau pun menggunakan SMS untuk mengirim ucapan Selamat Hari Raya, ia lebih ditujukan kepada kawan-kawan atau lebih muda daripada mereka.
Bagi rakan Facebook lain yang mengepos komen, kad raya juga menjadi pilihan kerana ia berbentuk peribadi, mempunyai nilai sentimental terutama untuk ibu bapa, kenalan rapat dan mereka yang jauh dan sudah lama tidak dihubungi.
MENJADI PILIHAN
Penulis yang juga membuat tinjauan di sebuah kedai buku di Taman Setiawangsa diberitahu bahawa kebanyakan yang rajin membeli kad raya adalah golongan muda dan remaja.
"Kebelakangan ini memang yang membeli kad terdiri daripada anak muda.
"Golongan dewasa dan warga emas kurang. Kalau beli pun kad hanyalah untuk jiran tetangga sahaja," demikian kata Noor Shakila Mohamad Ismail, pengusaha kedai buku dan alat tulis, SKH Books, Pusat Membeli-belah AEON AU2, Taman Setiawangsa kepada Bernama.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang membeli kad raya akan memberi kad itu dengan tangan.
"Saya tanya pembeli saya mengenai perkara ini. Mungkin kos setem yang tinggi. Dulu harga setem 30 sen, kalau tak digam sambul surat, setem 20 sen.
"Sekarang harga setem 50 sen. Kalau 10 kad dah berapa?" kata Noor Shakila.
Penulis turut diberitahu kad yang menjadi pilihan golongan remaja ialah yang mempunyai lakaran kartun.
Kalau yang dewasa dan bekerja, kad pilihan mereka ialah yang mempunyai gambar yang cantik.
Semurah-murah kad yang dijual di kedai Noor Shakila berharga RM1.80 dan yang paling mahal RM14.90.
Bagaimanapun, Noor Shakila memberitahu bahawa sambutan untuk kad raya berkurangan berbanding enam tahun lepas sewaktu dia memulakan perniagaan di pusat membeli-belah itu.
UNTUK IBU
"Beli kad raya istimewa untuk ibu." Ini kata Nurul Hanis Abd Rahman, 13, yang ditemui penulis di Kedai SKH Books.
Pelajar tingkatan satu ini mengakui beliau jarang membeli kad raya termasuk semasa di sekolah rendah tetapi tahun ini dia terdetik hati untuk membeli kad raya.
"Mulai tahun ini saya belajar di Kuala Lumpur dan ini kali pertama saya berjauhan dengan ibu dan keluarga yang lain," kata Nurul Hanis yang berasal dari Jerantut, Pahang.
Dia memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.
"Biasanya saya hanya mengucapkan Selamat Hari Raya secara lisan. Pada pagi raya saya akan berjumpa dengan emak dan ayah, memohon ampun dan maaf serta mengucapkan Selamat Hari Raya," katanya.
Meskipun menjadi trend mengirim ucapan hari raya menerusi SMS dan MMS termasuk dalam kalangan rakan seasrama, Nurul Hanis berpandangan budaya mengirim kad raya perlu dikekalkan.
"Ada masa kita tidak dapat melahirkan kata-kata yang boleh menikam kalbu tapi kita boleh membeli kad yang ada kata-kata yang begitu.
"Saya suka baca kad-kad seperti itu dan kalau saya nak beli kad, saya juga mencari kad yang mengandungi ungkapan yang semacam itu.
"Saya juga pilih kad yang mempunyai gambar depan yang menarik," kata Nurul Hanis yang menambah, dia memperuntukkan sekitar RM10 sahaja untuk membeli kad raya.
NOSTALGIA SILAM
Bagi Ridzuan Ghazali, berusia awal 20an, dia masih gemar mengirim kad raya berbanding SMS atau MMS kerana ia dapat mengembalikan nostalgia pada zaman 90-an terutama apabila melihat kad raya yang ada gambar lukisan kartun.
"Pada zaman 90-an, pada waktu itu teknologi gajet masih belum berkembang. Jadi anak-anak akan meluangkan masa dengan melakukan aktiviti seperti bermain di halaman rumah, masuk ke hutan dan membantu ibu bapa membuat kuih-muih.
"Begitulah meriah kehidupan saya semasa kecil di kampung di Yong Peng, Johor dan Tg Malim Perak, bermain-main dengan sepupu sementara menanti waktu berbuka puasa," katanya kepada Bernama.
Ridzuan berpendapat penggunaan SMS untuk mengucapkan hari raya sudah menjadi tidak istimewa lagi lantaran setiap hari menerima SMS.
Selain itu, katanya, ucapan hari raya dalam SMS juga digunakan berulang kali.
"Kad raya lebih peribadi, lebih berwarna-warni, malah ada juga kad raya yang berlagu.
"Tulisan tangan yang ditulis pada kad raya menggambarkan keikhlasan si pengirim mengutus ucapan lebaran. Keseronokan menerima kad raya lebih berganda berbanding melalui sms," tambahnya.
Menurut Ridzuan, dia membeli kad untuk saudara-mara serta kawan-kawan sekolah dan akan mengepos kad-kad berkenaan.
KONGSI KEGEMBIRAAN
Bagi S. Piarapakaran, dia juga masih memilih mengirim kad hari raya terutama untuk kenalan rapat serta mereka yang ada hubungan kerja.
S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ini telah mengamalkan tradisi mengirim kad ucapan sejak zaman persekolahan lagi.
"Masa itu kita bagi dengan tangan sahaja tetapi sekarang sebab kita jarang berjumpa, kad perlu dipos," katanya.
Piarapakaran biasanya membelanjakan sekitar RM60 hingga RM70 termasuk kos pos untuk mengirim kad raya.
Beliau berpendapat, mengirim kad raya adalah satu peluang terbaik untuk mengingati mereka yang dikenali serta berkongsi kegembiraan hari raya.
"Dengan kiriman kad, jalinan kemesraan berterusan termasuk untuk mereka yang mungkin menjadi renggang kerana perselisihan pendapat.
"Bagi saya kad masih satu cara unik menzahirkan keikhlasan mengucap Selamat Hari Raya," katanya.
Mengenai kiriman ucapan menerusi SMS atau MMS, beliau beranggapan ia satu trend yang ada pengikutnya.
"Kita bolehlah hantar SMS tapi kalau memori telefon bimbit penuh, kita kena padam SMS atau MMS supaya ada ruang memori untuk keperluan lain.
"Kalau kad raya, kita boleh simpan selama mana kita mahu. Semakin banyak kad diterima, semakin meriah terasa sambutan hari raya," katanya.
#Aidilfitri #kad raya
;