Juh ngabas Walk About Kuching 2022 di Kuching Oktober tok
Nuzuluddin Abdul Razak
Ogos 3, 2022 14:56 MYT
Ogos 3, 2022 14:56 MYT
KUCHING: Mereka yang terlepas Rainforest World Music Festival (RWMF) dan Borneo Jazz Festival (BJF) 2022 masih lagi berpeluang untuk mengikuti satu lagi acara pelancongan hiburan terulung di Sarawak pada festival ‘What About Kuching’ (WAK2022) sepanjang Oktober depan.
WAK 2022 yang memasuki edisi keempat itu berjaya menerima sebanyak 69 kertas cadangan daripada 59 rakan penganjur yang meliputi 111 acara dari pelbagai genre termasuk muzik, teater, tarian, seni kraftangan, kulinari, sastera dan budaya, serta tidak ketinggalan acara sukan dan aktiviti lasak bertemakan alam sekitar.
Pengasas siri festival WAK, Donald Tan, berkata festival itu mendapat sambutan luar biasa daripada artis antarabangsa dan tempatan yang membawa hasil karya berkualiti tinggi serta bertaraf dunia untuk dipersembahkan kepada masyarakat.
“Kami amat teruja dengan sokongan yang diterima WAK kali ini, tugas kami sekarang ialah untuk berbincang dan membuat perancangan secara terperinci dengan semua para penggiat dan penganjur acara bagi memastikan semuanya berjalan lancar Oktober nanti.
“Ini adalah peluang terbaik untuk masyarakat terutama pelancong untuk mengalami sendiri kebudayaan dan warisan di Sarawak sambil menikmati persembahan muzik, teater dan kesenian moden mahupun tradisional termasuk kulinari juga akan menjadi satu tarikan utama sepanjang festival nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
WAK yang bermula pada tahun 2017 telah diterajui oleh pasangan Donald dan Marina Tan juga disokong dan dinaungi oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
“WAK memupuk kerjasama dengan masyarakat tempatan di Bandaraya Kuching City untuk mementaskan persembahan mereka kepada khalayak di bawah satu tema iaitu ‘What About Kuching – Meraikan Seni, Budaya & Gaya Hidup’.
“WAK2022 akan mengumumkan kalendar festival pada 1 September dengan pelbagai acara yang boleh dinikmati semua dan kami berharap pelawat dari luar Sarawak akan turut berkunjung dan sama-sama menikmati dan memeriahkan WAK2022 sepanjang Oktober nanti,”katanya lanjut.
Kali terkahir WAK dianjurkan adalah pada bulan Oktober 2019 lalu dengan mendaftarkan 59 kolaborasi dan 315 acara setiap hari selama sebulan yang turut disertai beberapa artis tempatan dan antarabangsa.
Maklumat lanjut tentang WAK2022 boleh diketahui melalui laman sesawang www.aboutkuching.com dan media sosial WAK2022 di Facebook dan Instagram @aboutkuching.