Jualan produk cecah RM7 juta, Khairulaming kini ada kilang sendiri
Madiha Abdullah
Mac 2, 2022 18:30 MYT
Mac 2, 2022 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bermula dengan membuat content masakan untuk dimuat naik ke media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, kini bukan sahaja dikenali sebagai chef selebriti, malah semakin mengorak langkah sebagai usahawan berjaya.
Menerusi perkongsian di Twitter, Khairul memaklumkan produk sulungnya, Sambal Nyet, berjaya mencecah jualan RM7.5 juta dalam tempoh setahun.
Bukan itu sahaja, kilang pengeluaran sambal itu yang seluas 14,000 kaki persegi telahpun siap dibaik pulih dan beroperasi.
Kata Khairul, biarpun pada mulanya berat hati untuk membangunkan kilang, namun dia mencekalkan hati kerana hasratnya mahu belajar dan memahirkan diri dalam segenap aspek perniagaan serta pengeluaran.
"Sepanjang setengah tahun yang lepas macam-macam silap aku buat. Ada tersilap beli mesin, tersilap beli material, tersilap design layout dan macam-macam lagi. Tapi dari situ kita belajar. Selepas spend lebih RM1 juta, ini kilang yang beroperasi pada hari ini.
"Dari segi pembuatan sambal, kita dah berjaya automate lebih dari 50 peratus. Berbekalkan dengan mesin-mesin ni, banyak masa kita dapat jimatkan untuk production," tulisnya.
Sehingga ke hari ini, Sambal Nyet terus mendapat permintaan menggalakkan setiap hari dan pihak mereka juga sudah meningkatkan penghasilan berkali ganda berbanding sebelum ini.
"Fokus kita yang seterusnya adalah membuat preparation untuk bulan puasa dan diharapkan kita dapat cecah jualan 1 juta botol dalam masa yang terdekat.
"Tapi buat masa sekarang, kita masih lagi berhadapan isu harga cili dan bawang yang mahal. Yes, benda ni memang makan margin product setiap hari," ujarnya berkongsi cabaran yang dihadapi ketika ini.
Bakal mengeluarkan produk terbaharu tidak lama lagi, Khairul meluahkan, penghargaan tidak terhingga kepada pelanggan setianya yang membawanya ke tahap hari ini.
"Saya sangat terhutang budi dengan anda semua dan juga team Sambal Nyet atas sokongan yang berterusan. Tak pernah imagine dapat sampai ke tahap ini," katanya lagi.