Jual poskad perjalanan epik untuk tampung kos tunai haji

Bernama
Januari 17, 2024 09:00 MYT
Di sebalik cabaran fizikal mereka juga menghadapi cabaran yang lebih sukar iaitu untuk mendapatkan visa dan mengumpul RM40,000 setiap orang bagi memenuhi impian sepanjang hayat itu. - https://ahmadbmi.my/order/form/poskadkayuhanhaji2024
BANGKOK: Masa terus berlalu buat empat rakyat Malaysia yang berazam berbasikal sejauh 12,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke Makkah dalam masa tujuh bulan untuk menunaikan ibadah haji.
Dalam perjalanan kembara berbasikal ke Makkah 2024 itu, peserta perlu memperuntukkan kira-kira RM40,000 seorang untuk kos menunaikan haji.
Pasukan yang terdiri Che Saad Noordin, 73, bersama pasangan suami isteri Ahmad Mohd Isa, 35, dan Noradilah Mohd Sapie, 36, dan kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Abdul Halim Talha, 56, muncul dengan idea kreatif untuk mengumpul dana dengan menjual poskad yang diilhamkan daripada tujuh negara yang bakal dilalui.
Che Saad selaku ketua misi itu berkata, di sebalik cabaran fizikal mereka juga menghadapi cabaran yang lebih sukar iaitu untuk mendapatkan visa dan mengumpul RM40,000 setiap orang bagi memenuhi impian sepanjang hayat itu.
Beliau berkata, untuk membiayai perjalanan epik selama tujuh bulan itu mereka menggunakan simpanan peribadi dengan setiap orang dianggarkan membelanjakan kira-kira RM15,000.
"Kami sedang mengumpul dana untuk menampung sedikit sebanyak kos menunaikan haji. Kami mengalu-alukan sumbangan dari kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan untuk meringankan kos haji yang akan ditanggung setiap penunggang," katanya kepada Bernama.
Ahmad berkata, dana yang dikumpul melalui penjualan poskad eksklusif itu akan membantu pasukan untuk menampung sebahagian daripada kos menunaikan haji.
"Sehingga kini, kami telah mengumpul kira-kira RM20,000 melalui koleksi poskad kami dari Thailand," katanya.
Orang ramai boleh membeli poskad 'Poskad Kayuhan Haji 2024,' di https://ezy.la/poskadkayuhanhaji2024.
Misi kayuhan sejauh 12,000 kilometer ke Makkah dari Kuala Lumpur itu bermula pada 2 Nov.
Perjalanan mereka akan merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dijangka tiba di Arab Saudi pada pertengahan Mei 2024.
Memandangkan perjalanan setiap hari mengambil masa kira-kira lapan jam dari 9 pagi hingga 6 petang serta menempuh jarak perjalanan antara 50 dan 80 kilometer ia sudah pasti menguji stamina setiap peserta.
Setiap daripada mereka perlu membawa bebanan yang dianggarkan 60 kilogram seperti kit pertolongan cemas, peralatan perkhemahan, baju sejuk, kamera dan alat ganti basikal.
Meskipun mengharungi pelbagai cabaran seperti angin kencang dan hujan lebat, kembara itu selamat sampai ke Thailand pada 2 Jan.
Memandangkan sempadan Myanmar ditutup kepada warga asing, mereka akan memulakan perjalanan ke Mumbai, India pada 8 Jan.
Ahmad berkata, berbasikal meredah padang pasir, kawasan pantai yang berceranggah dan perubahan suhu yang mencecah sehingga lima darjah Celsius bakal menjadi halangan utama dalam perjalanan seterusnya.
Bagi Noradilah pula laluan perjalanan kali ini lebih pendek berbanding yang pernah dilaluinya bersama Ahmad pada 2016 yang merentasi 14 negara - Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran, UAE, dan Arab Saudi - dalam masa 15 bulan untuk sampai ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah. - BERNAMA
#tunai haji #jual poskad #kayuhan haji #misi berbasikal
;