Jom tinjau bazar Ramadan... Maaf kalau artikel ini buat anda lapar!

Astro Awani
Mei 29, 2019 13:42 MYT
Pelbagai pilihan makanan di Bazar Ramadan seharusnya membuatkan seseorang belajar tentang disiplin berbelanja. -Astro AWANI
BULAN umat Islam menjalani ibadah puasa memang tidak dapat lari daripada rasa seronok sewaktu lewat petang apabila mengunjungi pasar atau bazar Ramadan.
Jika bercakap tentang keinginan, tentu saja dalam fikiran sudah terlintas aneka jenis juadah atau hidangan yang mencetus selera. Maklumlah, selepas lebih 12 jam menahan diri dari lapar dan dahaga, sudah terbayang pelbagai jenis makanan yang diidamkan.
Ada yang mahukan sesuatu yang ringkas seperti kuih-muih tradisi, yang jenis manis atau yang savoury, hinggalah kepada hidangan lengkap berlauk yang sedia dibungkus seperti nasi, atau mi, mahupun pasta.
Untuk artikel ini, Astro AWANI meninjau dua lokasi berbeza iaitu Bazar Ramadan Pandan Indah dan juga Bazar Ramadan Kampung Baru.
Berikut adalah kompilasi makanan iftar pilihan popular di jalanan yang menjadi 'buruan' mereka yang mahu berbuka puasa, tapi kita mulakan dengan beberapa jenis kuih yang menjadi pilihan popular:
KUIH KARIPAP: Sama ada yang berbentuk bujur atau bulat, ini pastinya pilihan asas bagi mereka yang menyukai kuih jenis savoury. Datang dalam beberapa pilihan inti seperti kentang, sardin, ayam atau daging, sememangnya ini adalah kesukaan ramai. Asalkan jangan terbeli karipap dengan 'kekurangan' tertentu seperti kulit yang terlalu tebal, terlalu berminyak atau yang kosong gara-gara berinti 'oksigen'!
AGAR-AGAR: Lembut, manis dan enak dihidang sejuk. Manisan jenis agar-agar memang menjadi wadah untuk pengusaha makanan menguji kreativiti masing-masing, dengan kaedah penyediaan dan gaya persembahan yang mudah divariasikan. Daripada warna, rasa, bentuk dan juga tekstur, semuanya menggoda mata!
CARA BERLAUK: Rasakan keenakan daging cincang, kemanisan bawang dan sentuhan perisa pedas daripada hirisan lada merah dalam versi kuih talam ini. Ada orang anggap ini hidangan lengkap untuk menikmati iftar, sebelum rehat sebentar bagi menunaikan solat maghrib, sebelum beralih pula ke makanan yang lebih kompleks.
BOMBOLONI: Adunan ala donat dengan pelbagai inti berkrim manis aneka perisa, juadah yang disusun berwarna-warni ini pastinya menjadi 'magnet' perhatian yang memanggil pelanggan dari jauh. Kalau ibu bapa membawa anak-anak ke bazar Ramadan, jangan kecewakan permintaan mereka, ya!
PULUT PANGGANG: Pulut panggang, sama ada yang berinti serunding kelapa, udang kering ataupun ikan, tentunya menjadi pilihan mereka yang mahukan snek ringkas yang lengkap elemen karbohidrat dan protein. Agak sukar untuk mengenal pasti pengusaha yang arif menjaga kualiti keanjalan pulut dan juga nisbah inti yang ideal.
ROTI JALA: Rahsia keenakan hidangan ini terletak pada kelembutan adunan roti kirainya dan keseimbangan rasa gulai karinya. Lebih enak kalau gulai kari yang mengiringinya itu dipenuhi potongan kecil kentang dan juga isi ayam atau daging.
KENTANG GORENG 'SPIRAL': Ini satu lagi pilihan kegemaran khususnya anak-anak kecil. Kentang yang dipotong secara pusingan, dirempahkan, diregangkan dan digoreng rangup seterusnya mudah dimakan dengan memegang batang kayunya.
PISANG GORENG BERKEJU: Ini juadah yang pernah masuk dalam senarai tular. Pisang manis digoreng hingga salutan tepungnya rangup, kemudian dihidang dengan keju yang disagat di atasnya. Tak cukup lagi?, ada juga versi yang disira dengan coklat!
TAUHU BEGEDIL: Seronok sekali kalau berjaya mengenal pasti tauhu begedil yang mempunyai inti kentang dan daging cincang yang diperisa dengan baik. Selain disudahi dengan taburan bawang goreng dan potongan cili padi, rahsia keenakannya juga terletak pada sosnya.
MARTABAK: Ini pula hidangan sepanjang tahun yang mudah ditemui di pasar malam, namun tidak hilang perhatian padanya apabila masuk bulan Ramadan. Mahu yang inti daging atau ayam, bersedialah untuk beratur panjang!
ROTI JOHN: Boleh beli di bazar dan elepas itu boleh dicuba sendiri di rumah. Cuma perlukan roti oblong belah tengah, daging kisar, bawang merah, cili merah, cili api, telur, mayonis, dan sayuran seperti hirisan kobis dan timun. Siap!
BEBOLA DAGING: Menu ini lazimnya dijual di gerai yang turut menjual kepingan daging lembu atau kambing yang dimasak atas kuali leper. Ada pengusaha yang memberi pilihan sos seperti sos bawang putih, sos lada hitam mahupun sos cendawan. Makan dengan nasi atau roti? Terserah anda!
KEPAK AYAM PANGGANG: Merah, berkilat, beraroma. Menu menarik untuk dimakan dengan nasi atau diratah begitu saja. Kepak ayam panggang ini memang kelihatan 'menggiurkan' hingga kecur liur hanya dengan melihatnya.
AYAM GOLEK: Melihat deretan ayam yang disalut rempah bergolek-golek di palang besi, boleh diibaratkan sebagai satu pergerakan hipnotis! Apatah lagi kalau lemak dan minyak menitis ke atas bara arang di bawahnya, tetntunya menghasilkan sensasi asap dan aroma yang menggetar nafsu makan!
IKAN BAKAR: Penggemar makanan laut tentunya akan berpusu-pusu ke gerai ikan bakar. Ikan kembung, cencaru, sotong, udang, ikan pari, siakap malah kerang pun pasti lazat dimakan dengan nasi putih. Lebih-lebih lagi kalau diperah pula dengan limau kasturi, ataupun dicecah air asam, memang terangkat!
LAKSA JOHOR: Tradisi setiap negeri pastinya berkaitan laksa. Dari negeri-negeri Utara sampailah ke Pantai Timur, hinggalah ke Selatan, masing-masing ada versi tersendiri dengan rasa yang hebat-hebat semuanya. Kalau Laksa Pahang dan Laksa Johor yang kuahnya pekat, makan guna tangan pun boleh!
NASI KERABU: Kelazatan dalam pesta warna dan tekstur! Nasi dengan sentuhan biru bunga telang, berlaukkan ikan, ayam atau daging, tambah solok lada, telur masin... dan digaul bersama hirisan sayuran, serunding kelapa, serbuk isi ikan, budu dan sambal. Wow!
NASI AYAM GORENG KUNYIT: Konsep lauk asas, tapi kesedapannya lengkap! Lebih-lebih lagi kalau disertai kicap manis dan sambal belacan. Dengar-dengarnya di ibu negara, antara pengusaha terkenal adalah nasi ayam goreng kunyit King, Mat Rock, dan juga Azhar Station? Yang mana pilihan anda?
LAUK NASI CAMPUR: Ini adalah kebebasan pilihan yang jatuh dalam kategori 'gaya bebas'. Pilihlah apa saja. Sesuai untuk individu atau keluarga yang tidak sempat memasak namun mahukan seleksi menu yang beraneka. Adakalanya sengaja dibeli lebih agar dapat dimakan hingga ke sesi sahur.
Bagaimana? Mungkin ada yang sudah mendapat 'ilham' untuk membeli juadah iftar nanti. Jika anda ada sebarang cadangan tentang bazar Ramadan yang menarik untuk dilawati, jangan lupa kongsikan kepada kami, ya!
Selamat berbuka puasa!
#Bazar Ramadan #bulan puasa #gastronomi #Huawei P30 #iftar #jamu selera #Kampung Baru #kuih muih #kulinari #Pandan Indah #pasar Ramadan
;